KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menegaskan sokongan penuh pendirian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mempertahankan integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat dengan sistem pendidikan tinggi negara.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan keyakinan proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu dipandang serius.
Katanya, perkara itu lebih-lebih lagi apabila menyentuh reputasi universiti awam, warga pengurusan universiti, pegawai yang terlibat dalam proses kemasukan serta pelajar yang diterima melalui saluran yang sah.
“UNIMAS menyokong penuh pendirian KPT dalam menangani perkara ini mengikut lunas undang-undang, dasar dan tadbir urus yang berkuat kuasa.
“Sistem pendidikan tinggi negara perlu terus dipertahankan berasaskan fakta, integriti dan kepercayaan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 13 Jun lalu, ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah dalam satu ceramah umum di Markas Pas Kawasan Seremban, Negeri Sembilan didakwa menyatakan bahawa IPTA menafikan kira-kira 30,000 pelajar yang layak menyambung pengajian kerana amalan tidak telus dan wujud unsur ‘pintu belakang’.
Dalam hal berkaitan, Hata menambah, proses kemasukan ke IPTA tertakluk kepada dasar, syarat, mekanisme dan tadbir urus yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Menurutnya, setiap laluan kemasukan mempunyai objektif, syarat dan mekanisme yang jelas dan tidak boleh disamakan dengan dakwaan atau kenyataan yang tidak berasaskan fakta.
“UNIMAS juga sentiasa berpegang kepada prinsip merit, integriti akademik, kualiti pendidikan dan pematuhan kepada peraturan dalam mendukung aspirasi KPT untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti, berintegriti dan inklusif,” ujarnya.

