KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merancang untuk menawarkan program pengajian Bahasa Iban pada sesi akademik 2025/2026 sebagai usaha memperkukuh kedudukan bahasa etnik terbesar Sarawak tersebut di peringkat pendidikan tinggi.
Ahli jawatankuasa perancangan program pengajian Bahasa Iban, Profesor Datuk Dr Neilson Ilan Mersat berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memartabatkan bahasa Iban sebagai bahasa ilmu yang boleh diajar dari sekolah sehingga ke menara gading.
“Berita baik yang dapat saya sampaikan ialah UNIMAS dalam perancangan mewujudkan program pengajian Bahasa Iban pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Syarahan Utama Tangkai Mengandai di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Menurutnya, peluang itu harus direbut generasi muda kerana ia bukan sahaja membantu memelihara identiti bangsa, malah membuka laluan kerjaya sebagai tenaga pengajar opsyen Bahasa Iban yang masih kekurangan ketika ini.
Bahasa Iban bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya sarat dengan nilai falsafah, adat dan cerita turun-temurun yang menjadi pedoman hidup masyarakat sejak dahulu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan UNIMAS, Dr Regina Garai menyifatkan penganjuran syarahan utama tersebut sebagai wadah penting untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan memelihara bahasa Iban agar tidak pupus ditelan zaman.
“Bahasa adalah identiti bangsa. Usaha memartabatkan bahasa Iban juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, khususnya dalam aspek kelestarian budaya,” katanya.




