KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) terus memperkukuh komitmennya dalam menyahut seruan Kerajaan Negeri Sarawak untuk melahirkan lebih ramai bakat muda tempatan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut kenyataan media UNIMAS, usaha tersebut diterjemahkan melalui penganjuran program “STEM–Science Junior Explorer” yang dilaksanakan di bawah inisiatif Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) bertempat di SMK Kota Samarahan, semalam.

Program berkenaan dikendalikan dengan kerjasama Pusat Kelestarian UNIMAS hasil pembiayaan geran daripada Kementerian Kewangan Malaysia bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) 2025.
Seramai 80 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 SMK Kota Samarahan menyertai program tersebut yang menampilkan pelbagai aktiviti dan eksperimen saintifik interaktif, direka khas oleh 10 pensyarah FSTS daripada bidang Teknologi Zoologi, Bioteknologi Sumber, Kimia, Biologi Marin dan Air Tawar, Agroteknologi serta Sains Tumbuhan.

Antara aktiviti yang menarik perhatian pelajar termasuk pemerhatian spesimen tumbuhan, serangga dan haiwan, selain eksperimen fermentasi serta uji kaji tahap keasidan menggunakan kubis ungu.
Pasukan pensyarah diketuai oleh Dr. Ain Nadirah Romainor, turut disertai Dr. Lau Lik Ming, Dr. Muhammad Redza Mohd Radzi, Dr. Mugunthan Perumal, Dr. Madinah Adrus, Dr. Siti Nurlydia Sazali @ Piksin, Cik Ratnawati Hazali, Dr. Nurashikin Suhaili, Dr. Mohamad Hilmi Ibrahim dan Profesor Madya Dr. Dayang Salwani Awang Adeni.
Dalam kenyataan itu, Dr. Ain Nadirah menjelaskan bahawa pendekatan berasaskan pengalaman dan aktiviti lapangan menjadi strategi utama dalam menarik minat pelajar terhadap bidang sains.
“Kami ingin pelajar merasai sendiri bagaimana sains berfungsi dalam kehidupan seharian mereka.
Dengan bereksperimen bersama, kami menjelaskan proses dan konsep saintifik yang wujud dalam rutin harian tanpa mereka sedari,” katanya.
Dekan FSTS, Prof. Ts. Dr. Faisal Ali Anwar Khan, yang turut hadir memberikan sokongan, menegaskan bahawa program seumpama itu seiring dengan aspirasi UNIMAS dan visi kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem pendidikan STEM di Sarawak.
“Melalui program seperti ini, kami berhasrat menjadi pendukung utama dalam melahirkan lebih ramai bakat STEM di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Ini merupakan pelaburan jangka panjang terhadap masa depan sains dan teknologi negeri ini,” ujarnya.
Program Sekolah Angkat Malaysia MADANI (SAMM) sebelum ini dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun lalu sebagai usaha memperkukuh kolaborasi antara universiti, sekolah dan komuniti.
SMK Kota Samarahan merupakan antara sekolah yang dipilih sebagai Sekolah Angkat UNIMAS di bawah program berkenaan dengan objektif utama untuk menangani isu keciciran pelajar melalui pendekatan holistik, memperkukuh pembangunan akademik dan sahsiah, mempertingkatkan kemahiran STEM serta memperluas pembelajaran digital di peringkat akar umbi.




