KUCHING: Sebanyak 52 karya seni yang dipamerkan pada eCITRA International: China Chapter 2026 menjadi simbol kreativiti dan pendidikan menerusi pertukaran budaya serta persahabatan berkekalan antara Sarawak dengan China.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, pameran bertemakan Spirit of the Horses and Hornbills itu menampilkan 23 karya daripada Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS serta 29 karya daripada Vocational and Technical College of Inner Mongolia Agricultural University (VTC-IMAU), China.


“Daripada kerjasama akademik dan mobiliti pelajar kepada pertukaran budaya serta pelibatan kreatif, pameran ini membuktikan bagaimana jaringan global kita mampu membuka peluang sebenar kepada pelajar, ahli akademik dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran eCITRA International: China Chapter 2026 di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), UNIMAS, di sini, hari ini.


Menurutnya, pameran itu direalisasikan dalam tempoh yang singkat, iaitu sekitar dua bulan, sekali gus mencerminkan kejayaan usaha yang digerakkan melalui kepercayaan bersama, profesionalisme dan penyelarasan yang lancar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa UNIMAS komited untuk memperluas hubungan dengan China melalui mobiliti pelajar, program akademik bersama, penyelidikan kolaboratif dan pertukaran budaya.
Justeru, beliau berharap Kerajaan Sarawak dapat memperkenalkan Biasiswa Mobiliti Global Sarawak bagi membolehkan lebih ramai pelajar Sarawak meraih pengalaman di China dan negara lain sebelum kembali dengan perspektif global, idea baharu serta jaringan antarabangsa.


Pada masa sama, katanya, UNIMAS turut berhasrat mengalu-alukan lebih ramai pelajar cemerlang dari China untuk melanjutkan pengajian dan menyertai program mobiliti di universiti itu.
Sementara itu, Naib Presiden VTC-IMAU, Profesor Wang Yao berkata, pihaknya berbesar hati mempersembahkan koleksi karya terbaik pensyarah dan graduan daripada Jabatan Seni dan Reka Bentuk.
Menurutnya, karya yang merangkumi bidang komunikasi visual, reka bentuk kraf dan seni kreatif itu bukan sahaja mencerminkan warisan budaya serta tradisi etnik padang rumput Inner Mongolia, malah menyerlahkan kreativiti, inovasi dan perspektif kontemporari artis muda mereka.
“Menerusi karya seni ini, kami berharap dapat memperkenalkan pesona seni Inner Mongolia dan kekayaan budaya tradisional China kepada rakan-rakan di Malaysia.


“Pada masa sama, kami berharap dapat menyelami tradisi seni Sarawak yang penuh warna, belajar daripada amalan kreatif di sini dan bertukar pengalaman berharga dalam pendidikan seni,” tambahnya.
Mengulas mengenai tema itu, beliau berkata, kuda merupakan simbol spiritual bagi padang rumput Inner Mongolia yang melambangkan kebebasan, ketahanan, kesungguhan dan semangat penerokaan, selain mencerminkan warisan nomad utara China serta nilai budaya tradisional China.
“Burung kenyalang pula merupakan simbol ikonik Malaysia, khususnya Sarawak, yang melambangkan kemuliaan, kesetiaan, keharmonian, kepelbagaian budaya dan penghormatan terhadap alam semula jadi.


“Dengan menggabungkan semangat kuda dan burung kenyalang, pameran ini menggunakan dua simbol budaya yang berbeza untuk membina jambatan seni yang menghubungkan Inner Mongolia dan Sarawak merentasi sempadan geografi serta tradisi budaya.
“Ia turut mencerminkan nilai bersama seperti keberanian, keterangkuman, keharmonian dan inovasi,” jelasnya.
Dalam pada itu, pameran seni berkenaan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, Isnin hingga Jumaat, bermula 29 Jun hingga 30 September 2026 di Galeri FSGK, UNIMAS.





