KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menubuhkan Hab Pengalaman Digital (UNIMAS Digital Experience Hub) di Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY) sebagai inisiatif transformasi digital yang memberi manfaat kepada komuniti di peringkat nasional, global dan warga UNIMAS sendiri.
UNIMAS dalam satu kenyataan berkata, hab tersebut ditubuhkan hasil kerjasama dengan Google for Education yang menawarkan tiga pendekatan utama merangkumi modul dan latihan berimpak tinggi, pendedahan kepada sistem Grab-and-Go Chrome serta ruang penyelesaian digital kepada komuniti setempat.

“Ia merangkumi penggiatan modul dan latihan berimpak dengan pensijilan bukan sahaja kepada warga UNIMAS malah kepada komuniti, dengan matlamat menjadikan UNIMAS sebagai Universiti Rujukan Google (Google Reference University) di rantau ini.
“Sistem Grab-and-Go Chrome memberi pengalaman baharu dalam peningkatan kebolehcapaian kepada ekosistem Google, manakala Ruang Penyelesaian Digital memberi pendedahan dan pengalaman kepada inisiatif transformasi digital UNIMAS dengan mengetengahkan produk, solusi dan inovasi digital UNIMAS,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, kewujudan hab tersebut dijangka dapat mengukuhkan kedudukan UNIMAS sebagai institusi progresif secara digital, sekali gus meningkatkan pengalaman pembelajaran, memperkasakan kompetensi dan memberi impak mendalam kepada komuniti.
Tambahnya, ia juga menjadi langkah untuk UNIMAS memimpin dalam transformasi digital, memupuk inovasi dan menyokong pertumbuhan mampan.

