KUCHING: Untitled 26 mara ke suku akhir selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Bantang United, 6-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Cabaran Battosai (BCC) Edisi Ketiga 2026 di Padang Kampung Bantang, Serian, Ahad lalu.
Kemenangan terbesar pada pusingan berkenaan menyaksikan Untitled 26 muncul antara pencabar yang wajar diberi perhatian menjelang saingan lapan terbaik yang dijadual berlangsung pada 15 November ini.
Pengerusi Pertandingan, Raymond Lori, berkata saingan pusingan 16 terbaik menyaksikan beberapa perlawanan sengit, termasuk pertemuan yang ditentukan menerusi sepakan penalti serta kemenangan tipis.
“Tahniah kepada semua pasukan yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir.
Teruskan semangat kesukanan dan perjuangan untuk merebut gelaran juara BCC Edisi Ketiga 2026,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Dalam aksi lain, TS 25 meneruskan rentak cemerlang selepas menewaskan Extra Squad 4-3 dalam perlawanan yang menyaksikan tujuh jaringan, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.
MP United pula mara selepas diberi kemenangan 3-0 ke atas Krusen United berikutan ketidakhadiran pasukan lawan, manakala SME FC menyingkirkan 9774 FC dengan kemenangan tipis 1-0.
Sementara itu, Newville FC terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan MDR SC 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan.
Empat lagi pasukan turut mengesahkan kemaraan apabila Semenggol Empire menewaskan Owl Hunter FC 1-0, Kelingkang FC mengatasi Sahabat Kickers 2-0 dan Saga FC menundukkan AW 1902 dengan keputusan 2-0.
Keputusan itu menyaksikan lapan pasukan terbaik, iaitu Untitled 26, Semenggol Empire, Kelingkang FC, Saga FC, Newville FC, TS 25, MP United dan SME FC, meneruskan cabaran memburu kejuaraan.
Menjelang perlawanan suku akhir, Semenggol Empire bakal bertemu Kelingkang FC pada jam 12 tengah hari, diikuti pertembungan Untitled 26 menentang Saga FC pada jam 12.45 tengah hari.
Newville FC pula akan berdepan TS 25 pada jam 1.30 petang, manakala MP United dijadual menentang SME FC pada jam 2.15 petang.
Kesemua aksi suku akhir berlangsung pada Ahad ini di venue yang sama, dengan empat pasukan yang menang akan meneruskan saingan ke separuh akhir pada 29 November.
Kejohanan yang dianjurkan Battosai United itu diteruskan dengan sasaran mengekalkan persaingan sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan pasukan yang mengambil bahagian sehingga ke perlawanan akhir.




