TERIMA kasih kepada Suara Sarawak atas peluang menulis kolum ini selama sebulan, menggantikan seketika Awang Rosli Awang Jaya yang menunaikan ibadah haji.
Sepanjang tempoh empat minggu ini saya menulis tentang pelbagai perkara termasuk sesuatu yang menyentuh hati saya sendiri, seperti kisah kepala ikan di Jakarta dan sebagainya.
Kebanyakan penulisan saya sebelum ini menyentuh pengalaman mengembara, konsert atau festival muzik yang ditulis mengikut gaya dan cita rasa sendiri, tanpa unsur-unsur tipikal seperti penulis lain.
Disebabkan minat akan sesuatu perkara, saya akan menulis dengan mendalam dan penuh kelainan, dan cuba membawa pembaca ke satu dimensi yang lain.
Minggu ini, saya akan menyentuh mengenai konsert atau festival muzik secara umum, termasuk persoalan sama ada penganjurannya benar-benar menguntungkan atau sekadar menjadi peristiwa sementara yang berlalu begitu sahaja.
Apabila sesuatu konsert diumumkan, tumpuan umum sering tertumpu kepada barisan artis, lokasi dan harga tiket. Sorakan peminat yang teruja membanjiri media sosial seolah-olah memberi gambaran awal bahawa acara itu pasti berjaya. Namun di sebalik semua itu, terdapat persoalan penting yang jarang dibincangkan secara terbuka. Adakah penganjuran konsert di Malaysia benar-benar membawa pulangan yang setimpal?
Dari sudut permukaan, angka tiket yang habis dijual mungkin kelihatan meyakinkan. Tetapi bagi penganjur, jualan tiket hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kos dan risiko.
Kos menyewa venue, bayaran artis, keperluan teknikal, pemasaran, permit, insurans dan cukai hiburan antara beban utama yang perlu ditanggung.
Semua ini menjadikan margin keuntungan sangat tipis, malah ada ketikanya membawa kepada kerugian.
Realitinya, konsert berskala besar di Malaysia tidak berlaku secara kerap, apatah lagi di luar Lembah Klang.
Faktor pasaran yang terhad, sentimen sosial yang sensitif dan tekanan politik turut menjadi cabaran kepada mana-mana penganjur.
Ada ketikanya, tekanan bukan datang daripada faktor ekonomi, tetapi dari sudut persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap bentuk hiburan yang dianjurkan.
Meskipun begitu, ada juga penganjur yang tetap mengambil risiko menganjurkan konsert demi kecintaan terhadap muzik dan keinginan untuk mencipta pengalaman yang berbeza kepada peminat muzik.
Dalam hal ini, keuntungan bukan semata-mata bersifat kewangan, tetapi lebih kepada impak jangka panjang terhadap imej, jenama dan pengaruh dalam industri.
Saya mengambil contoh Festival Hammersonic yang diadakan di Ancol, Jakarta, Indonesia, iaitu sebuah acara muzik yang cukup menyeronokkan bagi peminat muzik keras dan rock.
Namun di sebalik kejayaan sedekad penganjuran festival ini, wujud sisi yang jarang diperkatakan.
Terdapat laporan yang menyatakan penganjur mengalami kekangan kewangan melibatkan beberapa kumpulan muzik, termasuk kelewatan atau kegagalan melunaskan bayaran yang sepatutnya diterima artis.
Dua tahun sebelum ini, difahamkan penganjur telah membelanjakan jutaan dolar Amerika semata-mata untuk membawa masuk peralatan sebuah kumpulan utama yang menjadi tarikan utama festival tersebut.
Dikatakan sebanyak 10 lori kontena digunakan bagi mengangkut kelengkapan band berkenaan ke lokasi acara.
Dari sudut pandangan penonton, persembahan itu ternyata mengagumkan dan memenuhi jangkaan. Namun bagi pihak penganjur, hakikatnya tidak semanis yang disangka.
Difahamkan, mereka tidak memperoleh pulangan yang memadai bagi menampung keseluruhan kos penganjuran.
Maka tidak hairanlah penganjuran Hammersonic setiap tahun, tiket untuk festival dua hari itu lama-kelamaan semakin mahal sementara pengalaman yang ditawarkan semakin merudum.
Inilah realiti dan fantasi yang kita alami setiap kali sesebuah acara muzik diadakan kerana di situlah terletaknya garis halus yang sering dilupakan.
Kita sering berfantasi bahawa artis yang kita dengar setiap hari di radio, yang kita ulang lagu mereka di penstriman digital, suatu hari nanti akan membuat persembahan di negara ini.
Kita membayangkan peluang untuk menyanyi bersama, melambaikan tangan dan menangis di hadapan pentas, seolah-olah mimpi lama menjadi nyata.
Namun bagi penganjur, mereka tidak boleh hidup dalam fantasi yang sama. Mereka harus sentiasa bermain di dalam ruang yang sempit antara keuntungan dengan kerugian, antara cita rasa penonton dengan kekangan logistik, antara impian dengan angka dalam kertas kerja.
Setiap keputusan membawa implikasi, bukan sekadar sambutan penonton, tetapi juga kelangsungan syarikat, reputasi dalam industri dan keupayaan untuk menganjurkan acara seterusnya.
Dalam situasi tertentu, keputusan untuk tidak membawa masuk artis antarabangsa bukan kerana tidak mahu, tetapi kerana tidak mampu menanggung risiko jika penjualan tiket tidak seperti diharapkan.
Justeru, apabila ada yang menyindir “kenapa Malaysia tak pernah masuk dalam senarai jelajah dunia”, mungkin kita juga perlu menyemak semula peranan kita sebagai penonton, pengguna dan penyokong industri.
Secara realitinya, tidak mudah untuk menganjurkan sesebuah acara muzik kerana ia melibatkan pelbagai transaksi kewangan.
Pembayaran cukai, sewaan lokasi, pengurusan artis, serta kos keselamatan, penginapan dan makan minum kru produksi, semuanya perlu diselesaikan sebelum pentas dibuka. Malah dalam kebanyakan kes, kos ini perlu dilunaskan lebih awal, jauh sebelum tiket pertama terjual.
Bagi artis antarabangsa pula, syarat teknikal mereka bukan dapat dikompromi. Setiap butiran daripada sistem bunyi, pencahayaan, kelengkapan belakang pentas hingga jenis makanan turut tertakluk kepada kontrak.
Sekiranya penganjur gagal memenuhi keperluan tersebut, persembahan boleh dibatalkan atau diboikot oleh artis itu sendiri.
Penganjur bukan sahaja perlu berdepan dengan permintaan artis, malah perlu memastikan acara mendapat kelulusan pihak berkuasa, menepati garis panduan hiburan, serta tidak menimbulkan keresahan awam.
Ini menjadikan proses penganjuran konsert satu pertarungan logistik dan strategi yang kompleks, dan bukan semua sanggup melalui tekanan tersebut.
Dalam dunia hiburan, penganjur, artis dan penonton masing-masing memainkan peranan yang saling melengkapi.
Konsert bukan sekadar acara satu malam, tetapi satu ekosistem yang memerlukan kefahaman, sokongan dan kesedaran bersama.
Jika kita mahu industri muzik terus berkembang, maka kita juga perlu menghargai usaha di sebalik tabir dan memberi sokongan bukan hanya dengan sorakan, tetapi dengan kehadiran dan kepercayaan.
Akhirnya, menghargai muzik bukan sekadar menikmati lagu kegemaran, tetapi juga memahami jalan panjang yang perlu dilalui agar ia sampai ke pentas di hadapan mata kita.






