BINTULU: Parti Demokratik Progresif (PDP) tidak pernah menjanjikan sebarang kedudukan atau keistimewaan politik kepada bekas pemimpin dan ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) ketika menerima penyertaan mereka pada 2024, kata Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, keputusan menerima bekas ahli PSB ke dalam PDP dibuat atas semangat memperkukuh perpaduan dan kestabilan politik Sarawak, khususnya dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), bukannya untuk memenuhi kepentingan politik peribadi mana-mana individu.
Menurutnya, perkara itu jelas termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua parti, khususnya Fasal 3 yang menyatakan tiada terma dan syarat lain yang mengikat mana-mana pihak.
Katanya, kedua-dua parti bersetuju dengan ketetapan berkenaan dan justeru, tidak wajar timbul dakwaan bahawa tujuan asal menyertai PDP tidak tercapai hanya kerana kepentingan politik tertentu tidak dipenuhi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Dato’ Sri Wong Soon Koh dan Dr Johnical Rayong Ngipa daripada PDP, yang berkuat kuasa 23 November.
Untuk rekod, Wong ialah tokoh politik veteran Sarawak yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam arena politik negeri, khususnya di kawasan DUN Bawang Assan yang diwakilinya sejak 1991.
Beliau pernah memegang beberapa portfolio penting dalam Kabinet Sarawak, termasuk Menteri Kewangan II, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang.
Wong kemudian meninggalkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) susulan kemelut kepimpinan dalaman sebelum bersama-sama menubuhkan United People’s Party (UPP) pada 2014, yang kemudian dijenamakan semula sebagai PSB.
Beliau mengetuai PSB sebagai presiden dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Sarawak dari November 2020 hingga Mac 2024.
Sementara itu, Johnical ialah penyandang kerusi DUN Engkilili yang sudah berkhidmat selama empat penggal sejak 2006.
Beliau juga antara pengasas PSB dan pernah memegang jawatan Timbalan Presiden parti itu sebelum menyertai PDP selepas PSB dibubarkan.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-12 pada 2021, Wong dan Johnical masing-masing mempertahankan kerusi Bawang Assan dan Engkilili atas tiket PSB.
Kedua-duanya kemudian menyertai PDP bersama bekas pemimpin dan ahli PSB lain selepas parti itu dibubarkan secara rasmi pada Mac 2024, sebelum Wong dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP manakala Johnical sebagai Naib Presiden.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, Tiong berkata beliau menghormati keputusan mana-mana individu untuk meninggalkan parti, namun tidak bersetuju apabila PDP dipersalahkan atas keputusan politik yang dibuat demi kepentingan masing-masing.
Mengulas isu pembahagian kerusi DUN Bawang Assan dan Engkilili, beliau berkata perbincangan awal mengenai usia Wong yang kini 85 tahun serta keperluan peralihan kepimpinan pernah dibangkitkan dalam satu mesyuarat pada September lalu.
Menurutnya, perkara itu turut mengambil kira pandangan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang sebelum ini menyentuh faktor usia, tempoh perkhidmatan dan peluang kepada pemimpin muda sebagai antara pertimbangan dalam pemilihan calon.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perbincangan berkenaan masih pada peringkat awal dan tidak membabitkan sebarang keputusan muktamad kerana kuasa menentukan calon serta pembahagian kerusi terletak pada kepimpinan GPS.
Sehubungan itu, Tiong mempersoalkan penyebaran khabar angin sejak hampir dua bulan lalu yang mendakwa kerusi Bawang Assan dan Engkilili akan diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), selain penyandang kedua-dua kerusi itu dikatakan perlu menyertai parti berkenaan sekiranya mahu bertanding semula.
“Siapakah yang membuat keputusan tersebut? Sudah tentu bukan kepimpinan GPS kerana pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan,” jelasnya.
Beliau turut mengulas dakwaan bahawa Johnical pernah ditawarkan peluang menjadi calon serta jawatan Timbalan Menteri Sarawak sebagai pertukaran untuk menyertai SUPP.
Bagaimanapun, Tiong berkata beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan, namun jika benar, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada percaturan politik sedemikian benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat atau sekadar memenuhi cita-cita peribadi.
Menurutnya, sebarang pengaturan berkaitan pembahagian kerusi perlu diputuskan oleh kepimpinan GPS dan bukannya berdasarkan khabar angin yang kemudiannya digunakan untuk menyalahkan PDP.
Tegas Tiong lagi, beliau secara peribadi menghormati keputusan Wong dan Johnical untuk meninggalkan parti, meskipun terkilan dengan perkembangan yang berlaku.
Beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan menerima sebarang usaha memutar belit fakta sehingga tanggungjawab terhadap kepentingan politik peribadi individu tertentu diletakkan ke atas PDP.



