KUCHING: Sebelum Perarakan Gawai Dayak 2025 bermula, suasana lobi Bangunan Tun Jugah dipenuhi dengan keheningan yang sarat makna, menandakan bermulanya Upacara Mamat.
Upacara yang dikendalikan oleh Majlis Adat dan Tradisi Sarawak ini bertujuan menunjukkan penghormatan serta permohonan restu daripada nenek moyang, agar perarakan berlangsung dengan baik dan harmoni.
Dalam masa yang sama, komuniti Orang Ulu yang dipimpin oleh Pemanca Kaum Kenyah Belaga, Pemanca Tony Kulleh, menyempurnakan ritual agung ini dengan penuh khidmat.
Menurut Pemanca Tony Kulleh, pusat tumpuan Upacara Mamat dalam perarakan ini ialah Tungun Belawing.
“Tungun Belawing adalah sebatang tiang kayu yang diukir dan dihiasi dengan motif-motif tradisional yang sinonim dengan masyarakat Orang Ulu, seperti bunga Kerbu.
“Di bahagian atas tiang tersebut diletakkan arca burung kenyalang, melambangkan penghormatan serta identiti budaya masyarakat,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau menjelaskan lagi bahawa Tungun turut dihias dengan 16 ikatan penghut dan disertakan dengan 16 potongan daging (stico). Di bahagian bawahnya, tempayan seramik (tajau) diletakkan bersama sebuah bakul rotan yang dahulunya mengandungi lapan tengkorak kepala manusia.
Namun, jelas Tony, tengkorak tersebut kini digantikan secara simbolik dengan bentuk kepala bagi menyesuaikan amalan dengan kepercayaan masa kini.
“Dahulu, upacara ini merupakan satu ritual yang membawa makna spiritual mendalam.
Pun begitu, dengan perubahan zaman dan pengaruh pemikiran moden, interpretasi serta nilai yang dikaitkan dengan elemen tersebut disesuaikan dengan perspektif dan nilai masyarakat masa kini,” ujarnya lagi.

Menariknya, upacara Mamat pada asalnya diadakan bagi memohon perlindungan daripada Bungan Malan buat para pahlawan, agar dijauhkan daripada petanda buruk dan dilindungi daripada kesan tulah atau parit.
“Mamat merupakan satu upacara penting yang diadakan bagi menyatakan rasa syukur kepada dewa Bungan Malan Peselong Luan, atas limpahan rezeki, kesihatan yang baik dan kesejahteraan hidup.
“Pada masa kini, masyarakat Ulu, khususnya komuniti Kenyah, masih meneruskan amalan ritual Mamat ini bagi tiga tujuan utama iaitu kesyukuran, semangat perpaduan serta kekuatan dan keberanian,” jelasnya.
Tambah Tony, walaupun Mamat tidak lagi diamalkan sepenuhnya dalam bentuk asalnya, namun prinsip terasnya masih terpelihara.
“Ini secara tidak langsung terus diamalkan melalui perbuatan seperti menzahirkan kesyukuran, sama ada melalui doa dalam kepercayaan moden ataupun penganjuran majlis kesyukuran.
“Amalan ini wajar dihidupkan semula dan diraikan, kerana ia merupakan sebahagian penting daripada budaya dan identiti masyarakat Orang Ulu, khususnya komuniti Kenyah di Sarawak,” katanya.



