BETONG: Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dijadual merasmikan Jambatan Batang Saribas Satu pada 19 Julai depan.
Kira-kira 5,000 tetamu disasarkan untuk memeriahkan upacara tersebut.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis perasmian itu akan berlangsung pada jam 10.30 pagi.
“Kita merasakan Premier Sarawak sendiri paling sesuai melancarkan jambatan sepanjang 1.55 kilometer bernilai RM375.5 juta ini, yang kini telah dibuka kepada orang awam sejak 25 Mei lalu,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan dan Pembentukan Jawatankuasa Penganjur Majlis Perasmian berkenaan, di sini, hari ini.
Jelasnya, ini menandakan satu lagi pencapaian besar Kerajaan Sarawak dalam agenda pembangunan infrastruktur luar bandar.
Uggah yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) turut memaklumkan bahawa Abang Johari dijangka akan melancarkan BDDA pada hari yang sama.
Katanya, BDDA yang ditubuhkan pada September 2022 merupakan antara sembilan agensi pembangunan wilayah di Sarawak yang memainkan peranan penting dalam merancang serta menyelaras pembangunan strategik di kawasan Betong.
“Sudah tiba masanya untuk memberitahu rakyat Betong tentang kemajuan yang telah dicapai setakat ini.
“BDDA adalah pengubah keadaan bagi kawasan ini dan sedang bergerak ke arah memenuhi harapan rakyat untuk menikmati lebih banyak pembangunan, kemajuan serta peningkatan kualiti hidup,” tambahnya.



