BINTULU: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menjadi pemangkin perubahan dalam landskap akuakultur Sarawak — bukan sekadar tempat menimba ilmu, sebaliknya ruang melahirkan inovator masa depan.
Menurut kenyataan UPMS, program AquaInnovEx: Inspiring Young Innovators in Aquaculture anjuran Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMS menjadi pemangkin inovasi akuakultur mampan, mengukuhkan kerjasama universiti–industri serta melahirkan graduan Sarawak yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“AquaInnovEx bertujuan memperkukuh kefahaman saintifik, teknologi dan inovasi dalam pengurusan akuakultur, di samping meningkatkan pendedahan industri serta membina jaringan kolaborasi strategik yang lebih kukuh antara universiti dan industri.
“Program ini dilaksanakan melalui dua siri webinar peringkat nasional serta pameran inovasi dan poster akuakultur, dengan penglibatan pakar daripada institusi pengajian tinggi dan agensi industri,” ujar kenyataan.
Program ini turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, yang berharap penganjuran AquaInnovEx dapat menjadi platform inovasi pelajar.
“Kita juga harap program ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat muda dalam bidang akuakultur.
“Kejayaan ini juga selaras dengan keperluan industri dan pembangunan komuniti setempat untuk membangunkan industri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, AquaInnovEx turut mengadakan pameran inovasi pelajar yang menampilkan pembangunan teknologi akuakultur pintar berasaskan teknologi internet kebendaan (IoT), sejajar dengan keperluan industri terhadap automasi, pemantauan masa nyata dan pendigitalan sistem akuakultur.
Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Ketua Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Dr. Masnindah Malahubban.

