SARIKEI: Berikutan keadaan cuaca yang sukar diramal ketika ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengarahkan semua urusetia pengurusan bencana di peringkat bahagian untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk berlakunya banjir.
Menurut Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, persiapan rapi perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap daerah dan kawasan yang berisiko banjir dihadapi dengan cepat dan berkesan.
Mengulas kejadian banjir yang sedang melanda beberapa bahagian di Sarawak ketika ini, Uggah berkata, kejadian berlaku di Jambatan Durin, adalah kali pertama berlaku.
Malah ujarnya, situasi banjir di Sibu, Kanowit dan Kapit agak membimbangkan meskipun sebahagian daripadanya dilaporkan menurun.
“Bagaimanapun di bahagian hilir Batang Rajang, masih lagi pada paras berjaga-jaga. Kerajaan Sarawak cuba melakukan yang terbaik termasuk melaksanakan kajian meninggikan paras laluan khususnya di kawasan yang terjejas,” katanya.
Beliau juga menggesa penduduk yang tinggal di kawasan rendah serta berhampiran sungai agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca dan mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara.
“Keselamatan nyawa dan harta benda rakyat adalah keutamaan kita. Justeru, kita perlu bersedia dari sekarang bagi mengurangkan risiko dan kesan sekiranya banjir berlaku,” tambahnya.

