
KARYA: NITA DRANI
BESUT, TERENGGANU.
Pagi itu, dia melangkah lagi ke pesta buku setelah beberapa tahun tidak ke sana.
Tiada buku baharu yang dipamerkan di rak, namun sekadar memeriahkan suasana di samping mencari beberapa buku untuk bacaannya.
Jalan sesak menuju ke bangunan pesta buku.
Ramai pengunjung memenuhi ruang bangunan itu.
Baguslah, makin ramai yang minat membaca sebenarnya.
Gumamnya dalam hati.
Apabila memasuki perut bangunan itu, dia teringat empat tahun lalu, pentas utama menjadi saksi perasmian karyanya yang pertama.
Biarpun berkongsi dengan rakan lain untuk bergambar kenangan di pentas itu, pengalaman itu cukup bermakna buatnya.
Dia singgah di satu reruai buku.
Di situ kelihatan beberapa kenalannya.
Sekadar menyapa dan bertanya khabar, persinggahannya di reruai itu menjadi lama.
“Kenapa dah lama tak ada cerita di media sosial? Biasanya bila ada buku baru, mesti ada cerita di Facebook.
Kau juga makin menyendiri.”
Dia terkesima mendengar soalan itu daripada sahabat penulisnya itu.
Dia tidak pasti, tetapi jari-jemarinya sudah lama tidak gigih menekan papan kekunci komputer riba untuk menggarap karya.
Tiba-tiba semangatnya hilang diselimuti arus kemalasannya.
“Sebenarnya beberapa tahun ni aku kurang aktif menulis.
Sebab itulah aku tak ada dalam kelompok penulis yang lain.”
“Mengapa macam tu?”
“Tak pasti sebabnya.”
“Mengambil tindakan berhenti menulis tu tak betul.
Tidak bercampur dengan rakan lain lagilah tak betul.
Kita perlu sentiasa ada dalam komuniti penulis agar sentiasa termotivasi.
“Tak ada antologi atau buku solo bukan masalah pun.
Yang penting sentiasa menulis supaya pena kita tak hilang tajamnya.
Yang penting, karya kita tetap ada walaupun sekadar dalam simpanan.”
Dia terpukul dengan kata-kata sahabatnya itu.
Pertemuan kali itu memang mengujakan.
Dari satu topik sehingga satu topik yang dibincangkan hingga masa berlalu tidak dirasai.
Dia sendiri tidak menyangka pertemuan pada hari itu agak bermakna.
Walaupun dia bukan penulis yang dikenali dan kemunculannya sekadar menambah statistik golongan guru yang berkarya, namun dia berpuas hati kerana berjaya merealisasikan minatnya.
Dia menulis bukan kerana nama, bukan juga kerana wang tetapi mengisi masa senggangnya dengan garapan cerita yang berlegar-legar dalam kepalanya untuk tatapan umum sebagai pedoman dan kenangan untuknya serta legasi keluarganya.
Dia juga menulis untuk memartabatkan bahasanya.
Kerja menulis tidak semudah yang dibayangkan.
Apabila sudah terbit sebuah buku, usahlah diminta percuma buku tersebut seolah-olah kerja seorang penulis tidak jerih.
Karya yang dihasilkan ada keringatnya juga dan wajar dihargai.
Seorang penulis walaupun tiada nama telah mengorbankan masanya untuk bersama-sama keluarga, malah masa tidurnya juga turut dikorbankan untuk mengerah idea.
Untuk melihat lahirnya sebuah buku, wang juga turut jadi taruhannya.
Untuk menjual karya, tidak semudah yang diucapkan.
Sepatutnya semua faham situasi tersebut.
Ibarat baru terjaga dari lena, dia bangun dan mengumpul kekuatan semula untuk berkarya.
Setelah tembok keyakinan yang dibinanya dulu seakan-akan roboh disebabkan sekelumit tembok cabaran yang gagal diharunginya, dia berhenti seketika.
Kini, dia patut bangun semula dan meneruskan perjuangannya.