ARTIKEL

Usah mudah putus asa cari pekerjaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENGANGGURAN merupakan perkara biasa bagi kebanyakan graduan setelah melangkah keluar dari alam universiti.

Malah ia berlaku di seluruh negara. Pengalaman bertungkus-lumus mencari pekerjaan idaman sejak dua tahun yang lalu mengajar saya untuk tidak memilih pekerjaan.

Pelbagai kata nasihat, tidak kurang juga sindiran daripada segelintir masyarakat. “Belajar sampai ijazah tetapi bekerja di kedai baju? Habiskan duit ibu bapa belajar sampai universiti. Ada ijazah tetapi hanya mampu makan gaji RM1,000 sebulan”.

Itu sudah biasa bagi saya. Dua tahun lalu, saya merupakan salah seorang penanam anggur sepenuh masa sebaik meninggalkan menara gading.

Sebelum bergelar graduan, saya juga seperti sesetengah graduan lain yang ingin mencari pengalaman bekerja sambil belajar. Semasa cuti semester tahun akhir, saya mengambil peluang bersama-sama dua sahabat baik saya untuk bekerja separuh masa selama tiga bulan di salah sebuah restoran makanan di Kuching.

Gementar, takut dan malu sentiasa menyelubungi diri ketika pertama kali bekerja. Takut untuk melakukan kesilapan, malu kerana sukar bergaul walaupun kemahiran sosial diajar di universiti. Namun, saya tetap kuatkan hati dan semangat kerana pengalaman yang dicari.

Dijanjikan gaji RM900 untuk tiga bulan, makan minum dan kediaman ditanggung. Tetapi, pengalaman kali pertama tidak seindah yang diidamkan. Saya hanya mampu bertahan dua bulan dan berhenti kerja.

Bagaimanapun, malang bagi saya apabila penat lelah dua bulan bekerja tidak dibayar gaji. Setelah tiga bulan menghabiskan latihan industri, saya kembali menguatkan semangat untuk mencari pekerjaan lain.

Syukur! Rakan sekerja yang mesra, gaji yang berbaloi adalah idaman setiap orang. Namun sekali lagi kalah akibat tekanan. Mungkin ketika itu saya belum bersedia dari segi mental dalam alam pekerjaan.

Untuk beberapa ketika, saya berhenti mencari kerja dan membantu beberapa sahabat lain bersama-sama pensyarah mereka dalam satu kajian.

Sebagai pembantu pengkaji dan diberi elaun RM50 sehari merupakan pengalaman baharu bagi saya. Enam bulan menetap di Kuching tiada kerja tetap, menyewa bersama-sama rakan, membayar sedikit pinjaman PTPTN dan kereta dibayar dengan hasil simpanan RM50 sehari serta sedikit bantuan daripada ibu bapa.

Sekali lagi saya bersyukur masih ada ibu bapa yang membantu. Sering kali saya terfikir bagaimana pula sahabat lain yang tidak bernasib baik seperti saya?

Tiada siapa diharapkan untuk membantu, ditambah lagi tiada peluang untuk bekerja. Kajian tidak dijalankan setiap hari. Jika ada, maka adalah sedikit rezeki untuk menampung keperluan makanan sebulan. Jika tiada, hanya mi maggi peneman hidup seperti zaman belajar.

Selain membantu pensyarah dalam kajian, saya juga bekerja separuh masa di salah sebuah butik pakaian. Dengan jadual bekerja lima jam sehari dan dibayar RM4.50 satu jam, banyak pengalaman yang saya peroleh.

Setelah enam bulan, saya terpanggil untuk hadir dalam satu sesi temu duga untuk menjadi wartawan akhbar Suara Sarawak. Bidang kewartawanan tidak pernah menjadi pilihan saya walaupun saya sendiri belajar dalam bidang komunikasi.

Namun saya cuba. Terima kasih Suara Sarawak yang pertama kali muncul ketika banyak syarikat akhbar tutup. Ia memberi peluang kepada saya untuk berjasa.

Keyakinan bergaul dengan orang ramai termasuk orang kenamaan menjadi pengalaman tambahan dalam bidang kewartawanan. Jatuh bangun ketika mencari pekerjaan, termasuk tidak dibayar gaji mengajar saya untuk tidak berhenti mencari peluang yang ada.

Pada 2018 sahaja, saya telah bertukar lebih daripada lima pekerjaan. Saya pasti ramai lagi graduan di luar sana yang masih mencari pekerjaan. Malah rakan segraduan masih ada yang belum bekerja. Ramai yang lebih susah daripada saya.

Namun sering saya nasihatkan kepada rakan-rakan, agar jangan mudah berputus asa untuk mencuba sesuatu pekerjaan walau sekecil mana pun pekerjaan itu.

Tidak perlu mencari pekerjaan setaraf pendidikan dahulu. Pengalaman itu lebih penting. Semakin banyak pengalaman, maka semakin matanglah kita.

Selain universiti, kita juga perlu belajar melalui pengalaman. Seperti peribahasa, “berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak”.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira