SARIKEI: Warga SK Ulu Entaih menarik nafas lega apabila sekolah pedalaman itu menerima bekalan air bersih hasil Projek Pembekalan Air Bersih yang dilaksanakan melalui program CSR Watersafe Sdn. Bhd.
Projek berkenaan menyaksikan pemasangan sistem penapisan air, penghantaran tangki serta ujian keselamatan yang disiapkan sepenuhnya pada Oktober lalu.
Pada masa yang sama, ujian makmal EnviC Laboratory Sdn. Bhd. turut mengesahkan air tersebut selamat diminum.
Guru Besar, Kennedy Ating Lansam menzahirkan penghargaan kepada Watersafe Sdn. Bhd., Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Julau atas kerjasama memastikan projek berjalan lancar.
Kemudahan itu memberi manfaat kepada 74 murid serta 22 warga sekolah termasuk 14 guru serta lapan kakitangan bukan akademik.
Menurut Kennedy, penyediaan bekalan air bersih meningkatkan keselesaan pembelajaran dan membantu guru melaksanakan tugas dalam persekitaran lebih kondusif.

