»PERSADA MUZIK SARAWAK disemarakkan dengan kemunculan semula Gambus Lebo Sarawak yang lama dilupakan. Kali terakhir alat muzik Melayu ini pernah tampil di acara rasmi negeri sekitar 1980-an.
Kursus Asas Permainan Gambus Lebo merupakan anjuran Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES) dengan kerjasama A. Thea Event Management dan disokong oleh Majlis Seni Sarawak.
Difahamkan, Ensembel Gambus Lebo Sarawak terdiri daripada pemuzik berbakat, iaitu peserta Kursus Permainan Gambus Lebo Sarawak yang berkumpul semenjak pertengahan Oktober 2023.
Ia bertujuan mempelajari teknik permainan gambus serta mempelajari lagu melayu yang syahdu, dimainkan dengan sepenuh jiwa dengan penerapan gaya tradisional dan kontemporari.
Selain itu, para peserta ini berasal dari beberapa suku kaum di Sarawak yang pernah mempraktikkan beberapa permainan alat muzik yang lain.
Dedikasi mereka terhadap muzik gambus dapat dilihat melalui pencapaian dan kesungguhan memain serta menguasai empat hingga enam lagu dalam masa yang agak singkat, hanya 27 hari sepanjang Oktober hingga Disember 2023.
Gambus Lebo Sarawak, suatu masa yang lalu pernah dibawa ke persembahan di persada muzik antarabangsa di Australia sekitar 1980- an. Selepas itu, ia terus menghilang.
Menghidupkan kembali permainan gambus lebo ini diilhamkan oleh Karyawan Seni Negara iaitu Narawi Rashidi yang berasal dari Kampung Bandarsah Kuching.
Beliau mencadangkan program ini kepada Majlis Seni Sarawak (MSS), mendapat sokongan yang amat padu dari MSS.
Beliau menempah 20 gambus lebo bertujuan melaksanakan program pemeliharaan alat muzik Melayu tersebut. Sebuah alat tersebut untuk harga pasaran berharga RM1,500.
Narawi berharap alat muzik gambus dapat dipopularkan semula di industri muzik Sarawak dan dapat dipraktikkan dalam pembikinan rakaman album muzik terkini. Sebelumnya, sekitar awal 1980-an, Narawi pernah terlibat membantu mengangkat alat muzik orang Ulu iaitu Sape’.
Beliau turut mengubah suai Sape’ (sistem penalaan dan memperkenalkan standard tuning “F” untuk Sape’) untuk Kumpulan Tuku’ Kame dan merintis pengunaan Sape’ dalam muzik kontemporari.
Pada 1989, kita menyaksikan Sape’ di pentas WCOPA (World Championship of Performing Arts).
Selanjutnya, Narawi berhasrat mengangkat martabat Gambus Lebo’ seperti yang pernah beliau lakukan untuk Sape Sarawak.
Dalam pada itu, Narawi turut berhasrat menubuhkan kumpulan atau Gambus Ensembel Sarawak serta menerapkan dalam orkestra tradisi yang diterajuinya sekarang iaitu POTRES (Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak). Majlis penyampaian Sijil Kursus Asas Permainan Gambus Lebo Sarawak diadakan pada 16 Disember ini pada 2.15 petang di Tingkat LG pusat beli-belah Riverside.



