KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memulihkan semula industri teksi yang semakin tenggelam dalam era perkhidmatan e-panggilan.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, pemulihan ini adalah menerusi pendekatan yang lebih moden, tersusun, mesra pemandu serta penumpang.
“Terbaharu, LPKP Sarawak mengadakan pertemuan dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan beberapa persatuan teksi di Kuching bagi membincangkan pelaksanaan beberapa langkah penambahbaikan, termasuk penstrukturan kawasan menunggu dan pemerkasaan pematuhan undang-undang sedia ada.
“Antara hasil utama mesyuarat tersebut adalah persetujuan untuk mewujudkan kawasan menunggu khas bagi teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelasnya, langkah ini dijangka mampu mengurangkan kesesakan di kawasan lapangan terbang, di samping membuka ruang kepada zon baharu bagi kenderaan e-panggilan.
“Melalui penyusunan aliran trafik yang lebih teratur, kita ingin memastikan semua pengguna sama ada penumpang teksi atau e-panggilan mendapat pengalaman yang lebih lancar dan selesa.
“Walaupun perkhidmatan e-panggilan semakin meluas, terdapat sebahagian masyarakat yang masih bergantung kepada teksi, khususnya golongan yang tidak biasa menggunakan aplikasi mudah alih atau tinggal di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Justeru katanya, LPKP Sarawak komited membantu memulihkan semula industri ini dan mengembalikan keyakinan awam terhadap teksi sebagai pengangkutan yang boleh dipercayai.
“Bagi mencapai matlamat tersebut, LPKP Sarawak akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan undang-undang melibatkan semua kenderaan perdagangan, termasuk teksi, bas, lori dan pengendali e-panggilan.
“Antaranya penguatkuasaan penggunaan meter tambang yang telah lama diwajibkan tetapi kerap kali tidak dipatuhi,” tegasnya.
Untuk mengatasi isu tersebut, Kong juga mengumumkan satu pendekatan baharu iaitu fungsi meter tambang disepadukan dalam aplikasi mudah alih e-panggilan .
“Langkah ini akan mengurangkan keperluan pemandu memasang meter fizikal yang mahal dan sukar diselenggara.
“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan pemandu teksi, malah membolehkan mereka mencapai lebih ramai pelanggan dan menyesuaikan diri dengan kehendak pengguna masa kini,” katanya.
Tambahnya lagi, ketelusan harga menerusi sistem digital turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan awam terhadap perkhidmatan teksi.
“Walaupun terdapat sedikit kebimbangan pada peringkat awal, kebanyakan pengusaha teksi menyambut baik inisiatif yang dibincangkan dan memahami keperluan untuk bergerak ke arah sistem yang lebih moden, kompetitif dan telus.
“Kita amat menghargai keterbukaan dan kesediaan mereka untuk bekerjasama.
Ini adalah permulaan yang positif bagi memperkasa semula industri teksi,” ujarnya.
LPKP Sarawak meneruskan sesi libat urus dengan persatuan teksi di seluruh negeri bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini dapat diperluas dan memberi kesan jangka panjang terhadap kelestarian industri.

