SIMANGGANG: Bermula dengan hanya menggunakan lima kilogram ikan bulu bagi menghasilkan produk, kini Nur Izzati Zalaluddin berjaya mengembangkan perniagaan memproses sehingga 250 kilogram setiap bulan.
Lebih membanggakan, pencapaian itu diraih dalam tempoh hampir tiga tahun sahaja sejak memulakan operasi pada 2023.
Menurut Pengurus Opah Delitaste Enterprise (Odel) itu, produk ikan bulu Batang Lupar daripada spesies Polydactylus ‘Lupar’ensis menunjukkan potensi pasaran yang semakin berkembang.
“Pada tahun 2023, saya hanya memproses lima kilogram ikan bulu.

“Namun pada tahun ini (2026), kami memerlukan sehingga 250 kilogram ikan yang dibeli daripada nelayan bagi menghasilkan pelbagai produk,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Dengan jumlah tersebut, Odel mampu menghasilkan antara 200 hingga 400 bungkusan produk sebulan, sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat.
“Untuk acara biasa, kami mampu menjana pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM6,000.
“Manakala bagi acara keramaian berskala besar, hasil jualan boleh mencecah RM10,000 dan ke atas.
“Perancangan seterusnya adalah untuk memohon pensijilan halal bagi membolehkan produk kami menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Izzati turut menegaskan bahawa syarikatnya hanya menggunakan ikan bulu jantan dan tidak mengganggu ikan bulu betina sebagai langkah memelihara kelestarian ekosistem dan mengelakkan kepupusan spesies tersebut.
Semalam, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh telah menyempurnakan Majlis Perasmian Hab Pemprosesan Produk Berasaskan Ikan Bulu Odel yang terletak di Kampung Pasir Panas.
Hab pemprosesan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di kawasan Sri Aman dan dibangunkan hasil geran Yayasan Hasanah berjumlah RM50,000.
Mahra berkata, Pejabat Residen Bahagian Sri Aman merancang untuk melaksanakan kajian kelestarian spesies ikan bulu di Sungai Batang Lupar.
Menurut beliau, kajian itu bertujuan memastikan ikan bulu dapat terus membiak sepanjang tahun dan tidak hanya bergantung kepada musim tertentu.
“Kajian ini akan melibatkan pemantauan musim mengawan, tempoh penghasilan telur serta fasa tumbesaran anak ikan di sungai Batang Lupar.
“Data yang diperoleh akan membantu usaha melestarikan spesies ikan bulu dan memastikan bekalannya berterusan kepada pengusaha produk berasaskan ikan ini serta peminatnya di Sri Aman,” tegasnya.
Beliau turut mengakui potensi ikan bulu dapat diangkat sebagai produk ikonik yang mampu menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke Sri Aman pada masa akan datang.



