KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya kepada seramai 21 usahawan sempena Sambutan ke-25 Tahun TEKUN Nasional, di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).
Ewon berkata, kriteria pemilihan anugerah tersebut adalah berdasarkan peningkatan prestasi perniagaan selepas menerima pembiayaan daripada TEKUN Nasional serta bayaran balik pembiayaan yang memuaskan.
Beliau turut menyampaikan Anugerah TEKUN Cawangan Terbaik dan Anugerah TEKUN Negeri Terbaik, termasuk usahawan dari Sarawak.
“Sejak ditubuhkan pada 9 November 1998, TEKUN Nasional berjaya membantu hampir 600,000 usahawan informal dan mikro di seluruh negara, dengan nilai pembiayaan berjumlah RM8.85 bilion.
“Bantuan tersebut bagi memenuhi keperluan modal perniagaan melalui kemudahan pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Ewon, sepanjang 25 tahun beroperasi, TEKUN Nasional turut mempelbagaikan produk pembiayaannya bagi memenuhi keperluan dan memberi pilihan kepada usahawan seiring dengan perubahan dan kehendak semasa.
Hadir sama, Timbalan Menteri KUSKOP, Senator Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdul Sani Abdul Hamid.



