KUCHING: Pada usia enam tahun, Ungau Alam terpaksa melarikan diri menaiki perahu panjang bersama keluarganya ketika Sarawak bergelut dengan Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963.
Lebih enam dekad kemudian, pengalaman itu dikongsikan Ungau menerusi Program Ceramah Rakan Muzium Sarawak bertajuk Mengimbau Kembali Rantau Panjai di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Ungau berkata, kehidupan di rumah panjangnya di pedalaman Baram pada ketika itu pada awalnya berlangsung seperti biasa sebelum keadaan berubah selepas tersebar berita mengenai penahanan seorang penduduk oleh pihak Indonesia.

Katanya, tanpa kemudahan komunikasi moden, berita disampaikan dari satu rumah panjang ke rumah panjang yang lain sehingga keadaan keselamatan semakin membimbangkan dan keluarganya terpaksa melarikan diri melalui sungai menggunakan perahu panjang.
“Apabila air sungai cetek, perjalanan terpaksa diteruskan menggunakan dayung. Ketika itu saya tidak begitu memahami bahaya yang berlaku dan lebih diselubungi rasa ingin tahu kerana belum pernah melihat atau mengenali askar,” katanya.
Antara kenangan paling jelas ialah ketika keluarganya bertemu sebuah bot tentera British di sungai yang kelihatan amat besar berbanding perahu panjang mereka. Menurut Ungau, beliau hanya memahami bertahun-tahun kemudian bahawa mereka ketika itu sedang melarikan diri daripada konflik.

Beliau turut mengimbau bapanya, Alam Surai, seorang veteran yang pernah berjuang menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua, serta ibunya, Tinyai Ugap, yang menjadi kekuatan keluarga sepanjang melalui tempoh sukar berkenaan.
Pengalaman Konfrontasi turut mewarnai perjalanan pendidikan Ungau apabila beliau memulakan persekolahan pada 1964 dan mengingati kehadiran anggota Gurkha di rumah panjang mereka pada tahun sama. Ketika itu, beliau mula memahami kehadiran anggota keselamatan dan berani menyapa mereka dengan ucapan “selamat pagi” dan “selamat petang”.
Kini, Ungau mahu kisah masyarakat pedalaman yang melalui pengalaman Konfrontasi didokumentasikan kerana banyak daripadanya hanya tersimpan dalam ingatan golongan lebih tua. Beliau menggesa generasi muda dan penyelidik turun ke lapangan untuk merekodkan kisah lisan berkenaan sebelum ia hilang bersama generasi yang mengalaminya.
Ungau menyifatkan 1963 sebagai tahun penuh pergolakan, ketidakpastian, keresahan dan rasa ingin tahu, namun menegaskan perkongsiannya bukan sekadar pelajaran sejarah, sebaliknya kesaksian peribadi tentang pengalaman seorang kanak-kanak yang hidup melalui salah satu episod penting dalam sejarah Sarawak.

