ARTIKEL

Rozita (tiga kanan) bersama Fatimah, Len Talif dan rombongan yang sempat berkunjung ke Gerai Mi Kolok Usu Salleh baru-baru ini.

Usu Salleh tarik pelanggan Sarikei dengan mi kolok asli warisan keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Jika di Kuching nama Mi Kolok Haji Salleh menjadi sebutan, di Sarikei pula Mi Kolok Usu Salleh mencipta identiti tersendiri dengan mengekalkan rasa warisan keluarga yang asli dan autentik.

Pemiliknya, Mohamad Halpi Telan, 46, mewarisi resipi istimewa itu daripada ibunya, Ripar Suhai, yang menjadi asas kepada perniagaan makanan kini semakin mendapat perhatian ramai.

Dibantu isterinya, Rozita Sepot, 48, Mohamad memulakan operasi secara kecil-kecilan dari rumah tanpa menyangka langkah berani itu bakal mengubah kehidupan keluarganya.

“Keluarga kami sudah lama berniaga makanan secara kecil-kecilan di Sibu bagi menambah pendapatan.

Pada mulanya, saya dan isteri hanya menganggapnya sebagai sumber pendapatan sampingan untuk menampung keperluan keluarga,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut Mohamad, perubahan tempat kerja telah mendorongnya untuk meneruskan perniagaan itu apabila menetap di Sarikei.

Beliau mengambil masa beberapa tahun untuk mengolah dan memperkemas resipi asal, memastikan rasa mi kolok yang dihasilkan kekal autentik, seimbang dan konsisten.

“Saya mahu mengekalkan keaslian rasa warisan keluarga, tetapi pada masa sama memastikan rasanya stabil sebelum mula menjual kepada orang ramai,” jelasnya.

Hasil kesungguhan dan usaha berterusan, perniagaan mereka kini berkembang pesat dan menjadi tarikan utama pelanggan di Bazar MARA Sarikei, menjadikan Mi Kolok Usu Salleh satu-satunya gerai khusus menjual mi kolok di kawasan itu.

Kehadiran pelanggan daripada pelbagai kaum setiap hari membuktikan keunikan rasa dan kualiti hidangan yang ditawarkan.

Mi Kolok Usu Salleh menggunakan daging ayam dimasak khas dan dihidang bersama carikan isi ayam rebus atau daging, mengekalkan keaslian resipi warisan.

“Selain itu, kami turut menawarkan mi kolok istimewa iaitu mi pok dengan tiga jenis sos — manis, masin dan biasa — bagi membolehkan pelanggan memilih mengikut cita rasa masing-masing.

“Saya dan isteri amat berterima kasih kepada semua pelanggan yang tidak pernah putus memberikan sokongan. Semoga perniagaan kecil kami ini terus dipermudahkan, diberkati dan berkembang maju,” ujarnya penuh harapan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU