KUCHING: Usul dikemukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen untuk membatalkan keputusan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Idris Buang serta mengembalikan kenyataan dalam hansard pada 14 Mei yang lalu ditolak Spekar DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Dalam keputusannya, Mohamad Asfia mengekalkan keputusan Idris untuk menggugurkan sebahagian ucapan Chong ketika membahaskan usul penghargaan terhadap ucapan Yang di-Pertua Negeri pada 14 Mei.
Chong sebelum ini mengemukakan usul persendirian berkaitan rujukan yang dibuatnya terhadap seorang individu daripada 21 individu yang ditahan dan didakwa di mahkamah kerana disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang, selain dakwaan kaitan individu tersebut dengan pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Beliau berhujah bahawa keputusan Timbalan Speaker menggugurkan sebahagian ucapannya daripada Hansard bercanggah dengan semangat demokrasi berparlimen dan kebebasan bersuara bagi wakil rakyat yang dipilih.
Beliau turut mendakwa perkara itu telah dilaporkan secara meluas oleh media di seluruh negara serta melibatkan kepentingan awam, termasuk penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Bagaimanapun, Mohamad Asfia memutuskan usul tersebut tidak boleh diteruskan atas beberapa alasan termasuk ketidakpatuhan prosedur, isu subjudis dan penghinaan terhadap Dewan.
Beliau berkata, notis usul itu tidak sepatutnya dibangkitkan sebelum aturan urusan mesyuarat dimulakan, dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 12 yang memberi keutamaan kepada urusan kerajaan berbanding urusan ahli persendirian.
Mohamad Asfia turut menjelaskan, individu yang disebut telah didakwa di mahkamah pada 15 Mei, sekali gus menjadikan perkara itu tertakluk kepada subjudis di bawah Peraturan Mesyuarat 32(2).
“Pada masa material, kes itu adalah sub judice dan mereka masih belum dibuktikan bersalah melampaui keraguan munasabah,” katanya.
Beliau juga memutuskan bahawa rujukan yang diulang oleh Chong dalam usul tersebut perlu digugurkan demi konsistensi dengan keputusan Timbalan Speaker sebelum ini.
Mohamad Asfia menambah, beberapa bahagian dalam usul itu melanggar Peraturan Mesyuarat 32(6) yang melarang ahli Dewan membuat tuduhan atau mengaitkan motif tidak wajar tanpa bukti kukuh.
Katanya, perenggan enam, tujuh dan lapan dalam usul tersebut, apabila dibaca secara keseluruhan, membawa “gambaran gelap dan dakwaan jenayah” terhadap Dewan yang mulia itu.
“Khususnya, perenggan tujuh menyatakan Dewan ini melindungi dan menyokong aktiviti haram dengan cubaan menutup perkara tersebut. Usul ini merupakan penghinaan terhadap Dewan,” katanya.
Mohamad Asfia turut memutuskan bahawa Chong tersilap menggunakan Peraturan Mesyuarat 23(2)(p) kerana usul itu sebenarnya bertujuan menyemak keputusan Timbalan Speaker, yang sepatutnya dibawa di bawah Peraturan Mesyuarat 39 yang memerlukan notis dua hari.
“Notis dua hari tidak diberikan,” katanya sambil menambah garis panduan amalan parlimen lazimnya menghadkan usul perbahasan kepada 250 patah perkataan, sedangkan usul Chieng Jen mengandungi 648 patah perkataan.

