Utamakan Sarawak jadi pegangan

DEBAK: Perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berpegang kepada prinsip Utamakan Sarawak sangat jelas. Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, sehubungan itu, ia perlu penerangan yang jelas kepada masyarakat akar umbi secara lebih agresif.

Menurutnya, tanggungjawab ini harus digalas oleh semua jentera parti. “Hal ini kerana, kita tidak mahu timbul salah tanggap terhadap perjuangan GPS yang menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Semua kita harus faham, setiap tindakan yang memberi manfaat kepada Sarawak dan GPS wajar disokong selagi mana semangat Utamakan Sarawak tidak dipinggirkan. “Kerana, GPS merupakan satusatunya parti yang memperjuangkan, menjaga, memelihara dan menuntut hak Sarawak.

“Justeru, kita di Saribas mengatur pelbagai program untuk digerakkan sebagai usaha memperjelaskan dasar perjuangan GPS dalam situasi politik masa kini,” katanya. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas sesi perjumpaan bersama 60 jentera parti terdiri daripada exco wanita cawangan dan wakil 23 ranting di sini, kelmarin.

Turut serta Naib Ketua PBB Cawangan Kaunselor Abdul Kadir Manterang, Ketua Wanita PBB Cawangan Rohana Julai dan Setiausaha PBB Cawangan Kaunselor Ahmad Pandoi.

Razi menambah, pergolakan politik di peringkat nasional diyakini tidak menjejaskan sokongan rakyat Sarawak terhadap GPS yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Beliau menjelaskan, jentera parti dan bilik gerakan cawangan mahupun ranting Dun Saribas akan digerakkan lebih aktif sebagai persiapan menghadapi PRN-12.

“Oleh yang demikian, semua bahagian bapa, wanita dan pemuda turut diperkasakan selain penganjuran program lazim yang akan diteruskan dalam mendekati rakyat,” ujarnya.

Pihaknya pada tahun lalu kata Razi telah berjaya mengadakan siri lengkap jerayawara GPS ke setiap ranting. Sementara itu, Rohana mengakui wanita PBB Saribas kini bersedia menghadapi PRN-12 yang mana untuk tindakan segera akan mengaktifkan bilik gerakan.

“Ini bagi memastikan pasukan wanita Saribas lebih bersedia untuk mempertahan kerusi PBB di Dun Saribas sekaligus menyokong penuh Razi kekal sebagai calon kelak. “Dalam pada itu Skuad Kasih Sayang juga semakin aktif dalam kerja-kerja kebajikan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Abdul Kadir pula menyatakan, perubahan yang dialami Dun Saribas dari sudut pembangunan tidak dapat dinafikan. “Banyak kampung ditransformasi secara berterusan hasil usaha kuat Razi yang disokong Kerajaan GPS. “Justeru, untuk memastikan lebih banyak kemajuan, kita harus bersatu padu.

Dan, jentera parti sudah berikrar untuk memastikan Saribas mampu kekal menjadi kubu kuat PBB dan GPS menjelang PRN-12,” tambahnya.

Suara Sarawak