ARTIKEL

KHAIRUDDIN (tengah) bersama MPP UTS yang dilantik pada majlis tersebut.

UTS bangunkan pendidikan bertaraf global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa dengan jumlah pelajar kini hampir mencecah 5,000 orang, mencerminkan pertumbuhan pesat serta daya tarikannya kepada pelajar tempatan dan luar negara.

Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid, berkata lonjakan ini didorong oleh penerimaan lebih 400 pelajar baharu pada sesi awal tahun ini serta usaha berterusan universiti dalam memperluas capaian global.

“Seiring dengan visi UTS untuk menjadi sebuah universiti bertaraf dunia, kami kini menerima pelajar pertukaran dari negara seperti Brunei, Indonesia, Pakistan dan China.

“Kehadiran mereka bukan sahaja meningkatkan kepelbagaian budaya di kampus, tetapi juga memperkayakan pengalaman akademik dan sosial pelajar tempatan,” katanya dalam Majlis Pelantikan dan Penghargaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTS pada malam kelmarin.

Beliau turut menegaskan peranan penting MPP dalam memperkukuh integrasi antara pelajar tempatan dengan antarabangsa, memastikan semua pelajar dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang inklusif dan dinamik.

“MPP memainkan peranan besar dalam mewujudkan suasana kampus yang harmoni dan proaktif.

Melalui penyertaan aktif dalam aktiviti universiti, pelajar dapat membina rangkaian antarabangsa serta memperluaskan perspektif mereka terhadap dunia global,” tambahnya.

Dalam majlis tersebut, Khairuddin turut mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan MPP 2024/2025 atas dedikasi mereka dalam menjaga kebajikan pelajar serta memupuk komuniti kampus yang lebih progresif.

Majlis itu juga menyaksikan penyerahan jawatan Presiden MPP daripada Brandon Chong Kian Hua kepada Muhammad Warith Zamhari sebagai presiden baharu bagi sesi 2025/2026.

Turut dilantik ialah Muhammad Aqil Isyraf Ismail sebagai Naib Presiden, Pamela Louis sebagai Setiausaha, dan Chiang Chia Yang sebagai Bendahari, manakala barisan Exco baharu terdiri daripada Hani Nurul Azreen Sulaiman, Arina Nabilah Abdullah, Nur Syahira Ezatie Abusamah, Jason Chong Ka Seng, Dayang Hanizzati Abang Hisham, Faris Danial Chiong, Isabelle Clarisse Bertram, Nurhidayah Abu, dan Ling Lu Hui.

Dengan kepimpinan baharu ini, UTS terus bertekad untuk membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih dinamik, inovatif, dan bertaraf global, selari dengan aspirasi untuk menjadi antara institusi pendidikan tinggi terbaik di rantau ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU