SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) perlu memainkan peranan lebih besar dalam memacu transformasi ekonomi Sarawak, termasuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, memperkasa penyelidikan dan merancakkan inovasi menjelang 2030.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peranan UTS tidak seharusnya terhad kepada penyediaan kelayakan akademik, sebaliknya menjadi institusi strategik menyokong keperluan pembangunan negeri.

Katanya, UTS perlu melahirkan graduan yang memiliki asas akademik kukuh, kemahiran praktikal dan nilai profesional bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke-11 UTS di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di sini, hari ini.
Peralihan daripada ekonomi yang bergantung kepada sumber asli kepada ekonomi lebih pelbagai, berasaskan pengetahuan dan digital memerlukan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Menurutnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, automasi dan teknologi mampan turut mengubah landskap industri serta meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran khusus.
Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan sektor strategik seperti AI, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hidrogen dan pengurusan karbon yang memerlukan kepakaran jurutera, penyelidik, saintis data, pembangun perisian serta pakar keselamatan siber.
Dalam pada itu, beliau berkata, UTS perlu memperkukuh keupayaan institusi, tadbir urus dan kemampanan kewangan bagi memastikan pertumbuhan universiti itu dapat diteruskan.
Penyertaan UTS dalam Kajian Kemandirian Kewangan dan Prestasi Tinggi bagi Badan Berkanun Negeri serta Syarikat Milik Kerajaan Sarawak (SOE) tahun ini merupakan sebahagian daripada agenda transformasi kerajaan negeri.
Menerusi Program Transformasi Perusahaan Milik Kerajaan Negeri Sarawak, UTS telah menyediakan pelan transformasi yang merangkumi strategi, inisiatif utama dan unjuran kewangan bagi meningkatkan daya tahan kewangan, kecekapan operasi, produktiviti serta tadbir urus menjelang 2030.
Abang Johari berkata, transformasi SOE penting bagi memastikan sumber awam menjana pulangan ekonomi dan sosial yang mampan, selaras dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak RM282 bilion menjelang 2030.



