SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menyasarkan untuk menjadi institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri pertama menawarkan program ijazah perubatan bagi membantu menangani kekurangan doktor dan pakar perubatan di Sarawak.
Naib Canselor UTS, Prof Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman berkata, perancangan itu merupakan antara hala tuju strategik universiti berkenaan menyokong keperluan pembangunan negeri, khususnya sektor kesihatan.
Hasrat itu turut mendapat maklum balas positif daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Pro-Canselor UTS.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Shahril berkata, UTS turut menyasarkan penarafan QS Stars bagi memperkukuh reputasi antarabangsa dalam aspek akademik, penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri.
Universiti itu perlu meningkatkan kapasiti kemudahan kampus susulan pertambahan jumlah pelajar, khususnya penyediaan asrama, prasarana akademik dan persekitaran pembelajaran kondusif.
Peningkatan kemasukan pelajar merupakan satu perkembangan positif, namun perlu perancangan rapi bagi memastikan kemudahan universiti mampu menampung permintaan.
Ketika ini, UTS mempunyai 6,724 pelajar yang mengikuti 36 program akademik, sekali gus mencerminkan peningkatan akses dan minat masyarakat terhadap pendidikan tinggi.
Menurutnya, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuka peluang lebih luas kepada anak negeri, termasuk golongan yang menjadi generasi pertama keluarga melanjutkan pengajian ke universiti.
Beliau berkata, tema konvokesyen tahun ini, “Pendidikan Berkualiti yang Boleh Diakses Semua”, mencerminkan komitmen UTS memastikan akses pendidikan turut disertai mutu pembelajaran yang tinggi.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan, UTS juga bergerak ke arah pendigitalan keseluruhan aliran kerja menerusi integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh tadbir urus dan menyokong reformasi perusahaan milik kerajaan negeri (SOE).
Pada istiadat berkenaan, seramai 586 graduan menerima pengiktirafan masing-masing, terdiri daripada 34 graduan pascasiswazah dan 552 graduan ijazah sarjana muda.
Mohammad Shahril berharap graduan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk menyumbang kepada masyarakat serta pembangunan Sarawak, selaras dengan aspirasi universiti melahirkan modal insan berkualiti.


