SIBU: Seramai 351 graduan daripada 22 program akademik diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UTS, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Naib Canselor UTS, Profesor Dr Kharuddin Abd Hamid, berkata kesemua graduan terdiri daripada dua Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 33 graduan Ijazah Sarjana, dan 316 graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian.
“UTS bukan sahaja memupuk kecemerlangan akademik untuk melengkapkan pelajar menghadapi cabaran hari ini, tetapi juga menjadikan mereka warga global yang diiktiraf dan dihargai.
“Kecemerlangan akademik bukan semata-mata tentang mencapai gred tinggi, tetapi juga memupuk pemahaman mendalam tentang dunia di sekeliling kita, membangunkan kemahiran berfikir secara kritis, dan menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Beliau menekankan bahawa UTS akan terus berusaha untuk tampil lebih cemerlang di masa hadapan.
Tegas beliau, usaha ini terbukti menerusi pencapaian universiti pada Ogos lalu dengan pengiktirafan dan anugerah sebagai Universiti Terbaik Malaysia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, UTS turut menerima anugerah kebangsaan yang mengiktiraf kepimpinan UTS dalam pendidikan tinggi teknikal dan vokasional.
“Ini adalah bukti komitmen kami sejak penubuhan Pusat Kemahiran dan TVET (COST) di UCTS pada tahun 2020, dalam usaha memastikan graduan kami tidak hanya dilengkapi akademik.
“Baru-baru ini, pada 1 November, UTS telah dianugerahkan akreditasi TVET (TVET-I) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, sebagai universiti pertama di Malaysia yang menerima akreditasi baru yang diluluskan oleh kementerian,” tambahnya.
Terdahulu, majlis menyaksikan dua graduan dari Fakulti Bisnes dan Pengurusan menerima anugerah akademik iaitu Chintra Dewi Baj dan Chai Ting Ting, diikuti penganugerahan Anugerah Canselor kepada graduan dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Dennis Phiong Wei Sheng.
Majlis Konvokesyen UTS, Universiti Teknologi Sarawak, Anugerah Canselor, Kecemerlangan akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET

