KUCHING: Pasukan V-Foss AFT (SMK Muara Tuang) bertekad mencipta kejutan pada Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 17 Tahun Antara Sekolah Menengah Sarawak 2025, meskipun sedar persaingan sengit daripada 39 pasukan lain.
Jurulatih pasukan, Abdul Muhtalip Tegak, berkata ini merupakan musim kedua penyertaan mereka dalam kejohanan tersebut, dan mereka berazam untuk mencapai sasaran tersendiri selain memberi pendedahan awal kepada pemain terhadap perlawanan kompetitif.

“Kami yakin dengan kemampuan pemain yang dipertaruhkan pada kejohanan kali ini.
Persiapan pasukan berjalan lancar, dan kami berharap dapat berada dalam kelompok tiga terbaik,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
V-Foss AFT diundi dalam Kumpulan A bersama SMK Sungai Tapang B, Sekolah Seni Sarawak dan Lodge School.
Kejohanan tersebut berlangsung selama dua hari, bermula 10 hingga 11 Mei, bertempat di Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SMK Tabuan Jaya).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, yang turut melakukan sepak mula sebagai simbolik pembukaan kejohanan.



