BAU: Projek penanaman vanila di Kampung Stass berpotensi besar melonjakkan usaha Sarawak memperkukuh sektor pertanian, selain daripada tanaman utama seperti durian, pisang dan nanas.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek penanaman vanila yang kini giat diterajui oleh Vanilla Impact Story Sdn. Bhd. selaras dengan misi Kerajaan Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
“Lawatan ke kebun vanila di Kampung Stass ini merupakan lawatan kedua selepas kunjungan ke Serian sebelum ini.
“Vanila adalah tanaman bernilai tinggi kerana ia merupakan rempah kedua termahal di dunia selepas saffron,” katanya ketika mengadakan sesi lawatan kerja tersebut, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa pembangunan industri vanila bukan sahaja dapat mengurangkan kos import, malah membuka peluang kepada pelbagai manfaat termasuk produk kecantikan, wangian dan kesihatan.
“Oleh itu, kementerian akan memberikan bantuan pembangunan awal untuk menyokong program penanaman vanila yang dijangka dimulakan pada tahun hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengasas Vanilla Impact Story Sdn. Bhd., Alfred Phua berkata, syarikatnya kini giat menjalinkan kerjasama dengan pemilik tanah lain bagi memperluas penanaman vanila di negeri ini.
Setakat ini, terdapat empat kebun vanila telah diwujudkan di Sarawak iaitu di Sibu, Serian, Kuching serta sebuah ecofarm di Stass, Bau dengan 300 pokok vanila ditanam sebagai permulaan.
Syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan meliputi penanaman, latihan dan konsultasi, pemprosesan serta perdagangan, selain mengintegrasikan konsep ekopelancongan berasaskan vanila sebagai nilai tambah.

