KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah memutuskan beberapa strategi kawalan untuk menangani risiko penularan varian Omicron.
Menurutnya, keputusan ini dibuat berdasarkan kenyataan yang telah dikeluarkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan satu kes telah dikesan di negara ini yang mana melibatkan seorang pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.
” Bagi semua pengembara dari Bostwan, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Malawi serta negara yang berisiko tinggi, mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan tanpa mengira status vaksinansi seterusnya menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ke 12.
“Rakyat dari negara-negara lain pula perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari dan ujian saringan RT-PCR pada hari ke lima bagi yang telah lengkap vaksinasi.
“Manakala kuarantin wajib selama 10 hari dan ujian saringan RT-PCR pada hari ke-10 bagi yang belum lengkap vaksinansi,” jelas JPBN dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, bagi kemasukan dari negeri lain, JPBN berkata kuarantin wajib selama 10 hari dan ujian saringan RT-PCR pada hari ke-8 bagi individu yang belum lengkap divaksin.
“Individu yang mempunyai Vaccinated Travel Lane (VTL) Singapura – Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin yang ditetapkan.
“Manakala pengembara yang memegang status Langkawi Travel Bubble perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) tiga hari sebelum berlepas iaitu mereka yang berada di Langkawi melebihi tujuh hari sebelum memasuki Sarawak,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, JPBN mewajibkan semua pengembara dari luar negara melaporkan sejarah perjalanan kepada petugas di lapangan terbang.

