BAU: Enam dekad selepas berakhirnya Konfrontasi Malaysia-Indonesia, jejak sejarah konflik itu kembali menyatukan veteran Australia dan masyarakat Sarawak menerusi kunjungan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Serabak, di sini.
Rombongan veteran dan keluarga daripada National Malaya and Borneo Veterans Association (NMBVAA) mengadakan lawatan sulung ke Daerah Bau pada Jumaat, termasuk Kampung Krokong, Kampung Suba Buan dan Kampung Serikin yang pernah menjadi kawasan penempatan tentera Australia pada 1965 dan 1966.

Lawatan itu sebahagian daripada Operation ‘Hornbill 2026’, program ziarah peringatan veteran Australia ke Sarawak bagi mengenang jasa anggota perkhidmatan dan polis Australia serta Komanwel ketika Konfrontasi.
Program itu turut memperingati ulang tahun ke-60 pemeteraian Perjanjian Damai Malaysia-Indonesia atau Jakarta Accord pada 11 Ogos 1966 yang menamatkan Konfrontasi.
Di SK Serabak, rombongan disambut Guru Besar, Julina Nudui, bersama Ketua Kampung Serikin, Jepes Gubes dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Magdelina Joseph Nyadi.
Presiden Cawangan Australia Selatan NMBVAA, Mejar (B) Paul Rosenzweig OAM JP, turut menyerahkan sumbangan kewangan kepada pihak sekolah bagi menyokong projek peringatan sejarah.
Rosenzweig berkata pendekatan NMBVAA dalam memperingati sejarah berteraskan empat perkara, iaitu mengenang mereka yang terkorban, mengingati Malaysia, menghormati mereka yang masih hidup dan melihat ke arah masa depan.
Sebagai simbol melihat ke arah masa depan, rombongan turut menyumbangkan buku untuk perpustakaan sekolah, termasuk bahan sejarah ketenteraan tempatan dan Australia serta buku pembelajaran bahasa Inggeris asas.
Antara sumbangan utama ialah sebuah kotak peluru ketenteraan keluli yang pernah digunakan di pangkalan rondaan Serikin pada 1965.
Kotak berkenaan diserahkan kepada Julina oleh veteran Borneo, Don Cameron dan Jeffery Hiscock, sebelum dibawa pulang Koperal Bob McNeil yang pernah berkhidmat bersama Kompeni ‘C’, Batalion Ketiga Rejimen Diraja Australia (3RAR) di Serikin.
Bahan bersejarah itu akan menjadi sebahagian daripada koleksi bagi penubuhan beberapa muzium mini untuk merekodkan warisan Sarawak-Anzac.
Rosenzweig berharap hubungan persahabatan antara Australia dan Malaysia terus dipelihara bagi menyumbang kepada kestabilan serta kemakmuran rantau ini.
Program berkenaan diakhiri dengan penanaman pokok sebagai simbol persahabatan dan keamanan.



