USAHAWAN terkenal, Datuk Seri Vida atau Hasmiza Othman, berkongsi sisi peribadinya sebagai seorang ibu apabila meluahkan perasaan mengenai hubungannya dengan dua cahaya matanya, Cik B dan Kacak.
Menerusi perkongsian di Threads, Vida, 53, mengakui dirinya juga tidak terlepas daripada berasa kecewa atau berkecil hati apabila berdepan dengan sikap dan tingkah laku anak-anaknya.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak membiarkan perasaan tersebut berlarutan, sebaliknya segera mengambil masa untuk menenangkan diri dan memujuk hati agar dapat memaafkan mereka.
“Apabila sikap anak-anak membuatkan saya berkecil hati, saya akan segera menenangkan diri serta melapangkan hati untuk memaafkan dan mendoakan perkara yang lebih baik untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau sedar bahawa setiap perkataan yang dilafazkan oleh seorang ibu kepada anak mempunyai kesan yang besar.
Kesedaran itu membuatkan beliau sentiasa berusaha mengawal perasaan dan tutur kata agar tidak terlanjur mengeluarkan kata-kata negatif terhadap anak-anaknya.
“Saya tidak mahu terdetik sedikit pun perasaan yang tidak baik, apatah lagi menuturkan kata-kata negatif terhadap anak-anak, meskipun hanya dalam hati,” katanya lagi.
Dalam usaha mengekalkan hubungan yang baik dengan Cik B dan Kacak, beliau turut memilih untuk sentiasa menitipkan kata-kata positif, pujian serta doa kepada kedua-dua anaknya.
Malah, beliau menganggap amalan tersebut sebagai salah satu cara untuk memberikan kekuatan kepada anak-anak dari segi emosi dan jiwa.
“Bagaimanapun sikap anak-anak sehingga boleh menguris hati, saya akan sentiasa menuturkan bahawa Cik B dan Kacak ialah anak-anak mama yang hebat.
“Hal ini demikian kerana kata-kata yang diucapkan oleh seorang ibu sangat mudah dimakbulkan,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengikutnya. Ramai yang mengakui bersetuju dengan pendekatannya dalam menghadapi cabaran sebagai seorang ibu.
Tidak kurang juga yang memuji ketabahannya dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, selain menyifatkan sikapnya yang memilih untuk mendoakan perkara yang baik sebagai sesuatu yang wajar dicontohi.





