BETONG: Seorang individu yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan sebagaimana tular dalam sebuah video membabitkan dua lelaki yang saling mengacu parang di Bandar Baharu Betong, pada Isnin, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Wan Mohamad Ali Wan Malek, mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata berbahaya.
“Kita menahan salah seorang individu yang terlibat dalam video berkenaan kira-kira 4.30 petang Isnin di tepi Jalan Betong.
“Kini, suspek berusia 35 tahun itu direman sehingga 17 Januari depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas sebilah parang yang ditemukan di dalam kenderaan milik suspek semasa pemeriksaan dijalankan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati keputusan positif bagi dadah jenis amfetamin dan methamfetamin,” ujarnya.
Menurut Wan Mohamad Ali, seorang lagi individu yang terlibat dalam kejadian tersebut masih bebas dan polis sedang giat mengesannya.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Charles Kiroh, di talian 013-6962702.
Pada Isnin, sebuah video berdurasi 41 saat tular di media sosial memaparkan kejadian dua lelaki terlibat dalam pergaduhan dengan masing-masing menggunakan parang di Bandar Baharu Betong.


