ARTIKEL

PALSU… Tangkapan layar video TikTok Pak Yop yang menawarkan khidmat mendapatkan lesen memandu tanpa perlu mengikuti proses serta prosedur yang sah adalah palsu.

Video tawaran lesen Pak Yop di TikTok disahkan palsu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Orang ramai diminta agar tidak terpedaya dengan tawaran lesen memandu jalan pintas yang kini tular di media sosial menerusi akaun TikTok bernama “Pak Yop”.

Menurut hantaran Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, satu video yang dimuat naik oleh akaun TikTok tersebut dikesan menawarkan khidmat mendapatkan lesen memandu tanpa perlu mengikuti proses serta prosedur yang sah.

“Individu terbabit tidak pernah diberi kuasa, kelulusan mahupun pengiktirafan oleh pihak jabatan dalam apa jua urusan rasmi,” tegas hantaran itu, hari ini.

JPJ Sarawak berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas menyalahi undang-undang, mencemarkan integriti perkhidmatan awam serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Jabatan itu juga tidak menolak kemungkinan tawaran seperti ini berpotensi mendorong kepada aktiviti penipuan yang lebih serius pada masa akan datang jika tidak dibanteras segera.

Sehubungan itu, JPJ Sarawak menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya dengan tawaran murah, cepat atau mudah untuk mendapatkan lesen memandu.

“Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan https://jpj.spab.gov.my,” tambah hantaran itu.

JPJ Sarawak menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk keuntungan peribadi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU