Violet enggan jumpa Fong

KUCHING: “Saya amat kesal apabila Violet memilih tidak datang berjumpa setelah saya menghantar surat melalui e-mel dan aplikasi WhatsApp,” kata Datuk Seri J.C Fong.

Penasihat Undang-undang Kerajaan Sarawak itu berkata, Violet juga membuat fitnah menyerang beliau dalam Persidangan Dun.

Perbalahan antara Violet dan Fong tercetus selepas Adun Pending itu mendakwa anak perempuan Fong antara ahli Lembaga Pengarah Petros dalam perbahasannya ketika Persidangan Dun Ke-18 lalu.

Persengketaan antara keduaduanya semakin meruncing susulan kunjungan isteri Fong, Datin Sri Annie Fong ke Persidangan Dun bersama-sama kakitangan kerajaan.

Violet mendakwa beliau diserang oleh isteri peguam terkenal itu sehingga mencetus gangguan emosi. “Isteri saya hanya ingin bercakap dengannya… bukan berniat untuk menyerangnya. Sekadar untuk berbual,” katanya.

Menurut Fong, beliau dan isterinya bukan orang asing bagi Violet kerana ibu bapanya adalah rakan baik mereka. “Ibu Violet, mendiang Ong Teck Eng adalah kakitangan saya selama 20 tahun ketika saya menjadi peguam persendirian.

“Orang tuanya kawan baik saya dan isteri. Kami saling mengunjungi setiap kali perayaan Tahun Baru Cina. “Malah saya dijadikan individu rujukan sama ada Violet atau kakaknya bagi permohonan Yayasan Sarawak, atas permintaan ibu mereka.

“Maknanya, kami memang rapat. Bagaimanapun, Violet menyalahtafsirkan niat isteri saya. Beliau mendakwa diserang isteri saya,” katanya. Violet jelas Fong, berani membuat tuduhan palsu dan fitnah terhadapnya dalam Persidangan Dun kerana tahu apa yang diucapkannya dilindungi oleh hak istimewa parlimen dan tidak boleh disaman.

“Malah beliau memperkenalkan usul di dalam Dun sambil menjerit-jerit kepada Timbalan Speaker Datuk Gerawat Gala. “Oleh itu, saya dan isteri terkejut apabila Violet mengadu isteri saya yang berusia 69 tahun itu mengundang risiko keselamatan terhadapnya,” ujar Fong.

Bagi menjernihkan keadaan, Fong mengundang Violet untuk hadir pada sidang media semalam tetapi sehingga selesai, kelibat Adun Pending itu tidak kelihatan Ujar Fong lagi, dakwaan Violet yang isterinya menangis teresak-esak selepas menyerangnya juga tidak benar.

Beliau berharap dengan sidang media itu, orang ramai mengetahui kebenarannya supaya tidak mendengar daripada sebelah pihak sahaja.