ARTIKEL

BALAI Polis Beladin yang baharu dirasmikan oleh Gilberd di sini, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

Wajah Baharu 44 Tahun Balai Polis Beladin Kini Bertukar Jadi Kompleks Lengkap PDRM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BELADIN: Selepas lebih 44 tahun bertapak, Balai Polis Beladin yang kini gah berdiri dengan ciri moden dan lengkap menjadi satu lagi simbol kemajuan dalam pembangunan infrastruktur keselamatan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat setempat.

Mengimbas catatan sejarah, Pondok Polis Beladin mula diwujudkan sekitar 1982 hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pusa ketika itu, Allahyarham Zainuddin Satem, yang membeli sebuah rumah penduduk untuk dijadikan pondok polis dengan kekuatan seorang anggota.

Seterusnya pada 1990, Pondok Polis Beladin berpindah ke bekas bangunan pejabat kontraktor yang ditinggalkan di tebing Batang Saribas. Pada masa tersebut, kewujudannya tidak diwartakan dan hanya bergantung kepada kekuatan seorang anggota yang dipinjamkan dari Balai Polis Pusa.

Namun kini, balai berkenaan dilengkapi fasiliti lengkap seperti ruang pejabat pentadbiran, padang kawad, stor barang kes, surau, gelanggang sukan, kawasan parkir serta 18 unit kuarters Kelas G dan satu unit kuarters Kelas E yang lebih selesa. Transformasi ini membuktikan aspek kebajikan pegawai dan anggota sentiasa menjadi keutamaan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis (CP) Gilberd Philip Layang, bangunan Balai Polis Beladin yang tersergam indah itu merupakan manifestasi jelas kesungguhan serta keprihatinan kerajaan dan PDRM dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta kebajikan warganya.

“Pembinaan prasarana yang lebih kondusif ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan perkhidmatan keselamatan, malah mencerminkan usaha berterusan kita untuk memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Beladin di sini, hari ini.

Menurut Gilberd, Beladin mempunyai keunikan tersendiri khususnya dari segi kepelbagaian masyarakat, hubungan komuniti yang erat dan keperluan keselamatan yang terus berkembang mengikut peredaran masa.

“Kepadatan penduduk di bawah pentadbiran Balai Polis Beladin adalah seramai 12,104 orang dengan lokasinya berhampiran dengan jalan utama iaitu Jalan Maludam.

“Kewujudannya yang kini tampil lebih moden dan bernilai tambah menjadi mercu kebanggaan warga PDRM di Beladin dan seluruh Daerah Betong,” ujarnya.

Gilberd menzahirkan keyakinan bahawa penyediaan infrastruktur berkualiti itu bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan dan moral warga kerja, malah menyokong persekitaran kerja yang lebih produktif serta profesional.

“Dengan kemudahan yang lebih baik dan perancangan yang lebih teratur ini, saya yakin para pegawai serta anggota akan dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

“Justeru, harapan kita agar balai ini terus menjadi benteng keselamatan yang kukuh, sekali gus memastikan rakyat di kawasan Beladin dan sekitarnya dapat menikmati suasana hidup yang aman, tenteram dan sejahtera,” katanya.

Balai Polis Beladin yang dibina di atas tapak berkeluasan 1.4961 hektar mula dibina pada 11 April 2016 dan siap sepenuhnya pada 16 Januari 2019. Majlis penyerahan rasmi telah diadakan pada 17 Januari 2019 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Secara keseluruhan, projek pembinaan Balai Polis Beladin melibatkan kos sebanyak RM21,179,330.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU