ARTIKEL

Richard Wee Liang Chiat

Wajib BM, Sejarah dalam SPM: Libat Urus Menyeluruh Diperlukan – SFCA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Libat urus menyeluruh semua pihak berkepentingan perlu dilaksanakan susulan pengumuman mewajibkan sekolah pelbagai aliran, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu serta Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA), Datuk Seri Richard Wee Liang Chiat berkata, langkah tersebut penting untuk memastikan pelaksanaan serta penguatkuasaan dasar berkenaan dapat berjalan lancar dan semua pihak perlu benar-benar komited dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Dalam soal ini masih belum banyak perincian berhubung pengumuman utama tersebut. Malah, terdapat juga laporan media yang memaparkan maklumat berbeza-beza.

“Saya lebih cenderung untuk menunggu kenyataan rasmi dan terperinci daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum memberikan sebarang maklum balas yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menambah antara perkara penting yang perlu diperjelas ialah pengenalan kewajipan kepada semua aliran pendidikan untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah

“Apakah pendirian kerajaan dengan pengiktirafan sukatan pelajaran, mata pelajaran serta sijil UEC, sekolah antarabangsa dan aliran yang lain?.

“Sekiranya KPM menetapkan bahawa semua pelajar daripada aliran lain perlu mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, bukankah langkah itu secara tidak langsung menjadikan semua aliran sekolah lain seolah-olah diseragamkan dengan sekolah kerajaan?,” soalnya.

Untuk rekod, ketika Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, pendekatan tersebut diyakini dapat meleraikan kontroversi berkaitan isu bahasa Melayu, selain menamatkan perbahasan berhubung syarat kemasukan ke universiti awam selepas ini.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU