KUCHING: Pencuci mulut tular di media sosial umpama rezeki jatuh dari langit buat Fareen Farina, 31, apabila jualan biskut kenyal Dubai atau Dubai Chewy Cookies yang diusahakannya menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan.
Idea untuk menjual pencuci mulut berkenaan tercetus hasil cadangan adiknya Ain Amilna Waida untuk mengisi masa lapang sebelum berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan menguntungkan.

“Berkat idea daripada adik saya untuk mencuba membuat biskut kenyal ini sebagai pendapatan tambahan, akhirnya ia menjadi antara jualan paling laris di gerai saya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Kuching Car Boot Sale Food Street Souq di sini, hari ini.
Fareen mula berjinak-jinak dalam bidang jualan makanan sejak tahun 2024 berkata, sambutan pelanggan terhadap biskut kenyal ini amat luar biasa, ada yang sanggup membuat tempahan awal menerusi WhatsApp bagi mengelakkan kehabisan stok di reruai.

Menurut Fareen, biskut kenyal Dubai merupakan pencuci mulut tular dari Korea Selatan — terkenal dengan tekstur unik, rangup pada gigitan pertama namun kenyal seperti mochi di bahagian dalam.
Lebih menarik, pencuci mulut itu turut diserikan dengan inti coklat dan kacang pistasio yang menjadi kegemaran ramai pencinta manisan moden.
“Oleh itu, saya dan pasukan sentiasa memberi fokus kepada kepelbagaian perisa supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan untuk dinikmati,” katanya.
Antara pilihan yang ditawarkan termasuk biskut kenyal Dubai perisa Cadbury, kacang pistasio dan pistasio strawberi, selain Mochi Bites perisa strawberi dan coklat, yang dijual pada harga bermula RM7 hingga RM10.
Fareen turut mengakui berdepan cabaran dalam memastikan setiap perisa kekal konsistens dari segi rasa, tekstur dan kualiti walaupun permintaan semakin meningkat.
“Bukan mudah untuk memastikan setiap biskut kenyal ini kekal sedap, cantik dan berkualiti kerana tekstur kenyal itu sendiri perlu betul-betul menjadi,” ujarnya.
Selain menjual pencuci mulut tular, Fareen turut menawarkan minuman Matcha dan Ramen Sukiya, selain perkhidmatan stesen pencuci mulut untuk pelbagai majlis.
“Selain berniaga di festival makanan seperti hari ini di Plaza Merdeka, kami juga menyediakan perkhidmatan pencuci mulut untuk pelbagai acara dan tempahan khas.
“Bagi yang tidak sempat ke reruai kami, boleh kunjungi kami di Port Moret, bersebelahan Surau Kampung Panglima Seman Ulu setiap Isnin dan Jumaat, bermula jam 2 petang hingga 9 malam,” katanya.

