SEJAK bersara pada penghujung tahun lalu, ada pelbagai khabar angin menderu kencang mengenai dirinya.
Ada yang memetik namanya sebagai bakal Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baharu.
Tidak kurang yang membuat ramalan beliau akan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Turut mendengar deruan angin yang sama, tuan punya badan tidak ralat.
Malah tidak ambil kisah dengan khabar angin tersebut.
Kepada penulis, beliau mengakui telah bersedia mental dan fizikal — bersara daripada politik, bermaksud bersara terus.
Cuma beberapa bulan selepas tidak lagi bergelar menteri dan Ahli Parlimen Santubong, lelaki yang genap 78 tahun pada 1 Februari lalu, masih menyantuni rakyat yang pernah diwakilinya.
“Ada tugas dan tanggungjawab yang belum selesai,” kata pegawainya ketika ditemui secara tidak sengaja di Kuala Lumpur.
Tahun 2022 mungkin dianggap sebagai tahun duka baginya.
Beliau kehilangan isteri tercinta, Datin Seri Fiona Norjanah Sim Abdullah dan digugurkan daripada senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum 2022.
Namun sebagai ahli politik matang, apatah lagi sebagai bekas pegawai kanan polis dan pengamal undang-undang yang disegani, beliau tidak mudah melatah.
Sebaliknya, sosok Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilihat gigih membantu calon penggantinya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam menjayakan kempennya. Dan, benarlah bahawa rezeki selalunya tidak salah alamat.
Beberapa minggu lalu, beliau menerima WhatsApp tiga ucapan tahniah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Tahniah pertama kerana telah melangsungkan perkahwinan dengan Fauziah Mohd Sanusi; kedua, kerana menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri dan pada 19 Jun lalu, dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-19.
Selain perkahwinan, dua rezeki yang terakhir itu merupakan kejutan baginya.
Kejutan ketiga ini membawa individu yang membahasakan dirinya sebagai “Ami” itu keluar daripada persaraan.
Ia berlaku hanya dalam tempoh kurang seminggu.
Beliau diminta berjumpa dengan Premier Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 13 Jun lalu.
Beliau juga memaklumkan telah dihubungi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat melantiknya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara, bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim, yang merupakan wakil daripada Bersatu.
Kata Wan Junaidi, pelantikan itu merupakan satu penghormatan, kerana bersandarkan pengalamannya sebagai Ahli Parlimen, Menteri dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Ketika menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, nada tegas Wan Junaidi menyebut “Yang Berhormat!
Yang Berhomat” serta nasihat dan amarannya pasti sukar dilupakan — hingga menjadi bahan kepada pelawak veteran, Allan Pereira ketika persembahannya.
Pemilihan beliau tersangat tepat kerana ia merentas politik.
Beliau mendapat sokongan semua parti yang terlibat kerana bukan sahaja beliau rapat dengan semua ahli parlimen dan terbukti nonpartisan, tetapi kerana beliau mewakili GPS.
Benar, jika calon daripada Barisan Nasional, ataupun Pakatan Harapan, mungkin akan timbul kesukaran.
Namun kerana individu tersebut bernama Wan Junaidi, maka beliau tidak disaingi kerana diyakini mampu berlaku adil.
Lelaki yang gemar kepada kelasakan Mercedes Benz ini sememangnya layak kerana pengalamannya.
Beliau seorang yang cukup mahir dalam selok-belok parlimen, malah dikenali sebagai “ensiklopedia undang-undang” dan “Perlembagaan Persekutuan” bergerak oleh teman-temannya di Parlimen.
Beliau mampu menghadam semua ini kerana minat dan hobinya.
Beliau mengakui tidak berapa minat kepada novel, tetapi tidak menolak kepada bacaan yang berdasarkan undang-undang dan sejarah.
Malah peminat Cliff Richard ini juga sering mengulang baca Perlembagaan Persekutuan – dan sering membawanya ke mana sahaja beliau pergi.
Kerana itulah pengetahuan dan tafsirannya terhadap undang-undang ini amat dihormati.
Malah amat tepat jawatan terakhirnya sebelum bersara adalah sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Undang-Undang.
Bagi Wan Junaidi, beliau amat terhutang budi kepada bekas Speaker Dewan Rakyat Tun Mohamed Zahir Ismail, yang banyak menyuntik keyakinan kepadanya untuk terus belajar dan belajar.
“Tun Zahir meminta saya menulis buku.
Kemudian meminta saya melanjutkan pembelajaran hingga ke Doktor Falsafah, kerana beliau yakin setiap ucapan saya ada substance,” katanya kepada penulis ketika kami mengadakan pertemuan di Medan Niaga Satok, Ahad lalu.
Wan Junaidi yang sering meluangkan masa Ahadnya untuk membeli-belah di medan niaga tersebut, mengakui beliau memiliki sedikit nilai sentimental di situ.
“Saya merupakan Ahli Lembaga Pengarah FAMA pada waktu itu, dan telah memohon agar peruntukan diberikan kepada Sarawak untuk membina pasar berkonsep terbuka.
Peruntukan itu diluluskan. “Cuma kebetulan Abang Johari (Premier Sarawak) telah mengemukakan idea untuk mewujudkan Medan Niaga Satok menggantikan Pasar Minggu yang lama, maka saya bantu dengan dana yang diluluskan itu.
“Pasar ini penting bagi golongan petani dan nelayan kerana ia dapat menghapuskan keuntungan melampau orang tengah,” katanya, bercerita berdasarkan pengalamannya sebagai anak nelayan.
Beliau malah tidak kekok untuk membelibelah di situ dan tahu jenis ikan dan sayur apa yang hendak dijadikan lauk pada hari tersebut.
Perbualan kami turut disertai isterinya, Puan Sri Fauziah, yang tidak kekok untuk berbahasa Sarawak.
Dedah Wan Junaidi, beliau memilih Fauziah sebagai suri hati kerana dia memahami dirinya, serasi dan paling penting dapat menerima dan diterima oleh anak-anak.
“Tetapi sebelum saya membuat keputusan, begitu ramai yang menawarkan diri mengisi kekosongan jiwa saya, dan ia datang bukan sahaja dari Malaysia.
Malah ada rakan karib yang mencadangkan jodoh yang sesuai,” katanya lagi sambil tersenyum.
Yang pasti, tiada lagi rehat bagi Wan Junaidi selepas ini.
Rutin membaca dan membalas mesej selepas bangun untuk solat Subuh akan pasti diteruskan.
Begitu juga rutin membaca dan menulis setiap hari.
Cuma kali ini, beliau perlu kembali ke Parlimen bagi mempersiapkan diri untuk mengendalikan pelbagai bentuk perbahasan – yang deras bahasnya mungkin sedikit kurang berbanding deras keras di Dewan Rakyat.
Ternyata benar, umur 78 tahun bagi seorang Wan Junaidi, hanya sekadar angka, kerana fizikalnya masih utuh, fikirannya masih kuat dan bahasanya masih tajam berbisa.




