KUCHING: Kejayaan meminda Perlembagaan Persekutuan pada Disember 2021 ketika Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bagi mendapatkan pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan Malaysia terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas Pindaan Undang-Undang Perlembagaan 2021 diwartakan pada 11 Februari 2022.
Dengan itu, segala hak serta tuntutan Sarawak dan Sabah menjadi sebahagian Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan.


Langkah ini diambil bagi memperbetulkan kekhilafan dalam Perlembagaan selama hampir 60 tahun sejak 1963. Pengiktirafan tersebut sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak dan Sabah dalam membuat tuntutan di bawah MA63.
Tun Wan Junaidi memainkan peranan penting dalam menggubal, memperkenal dan memberi apa-apa sahaja persoalan untuk mendapat kelulusan semua pihak berkaitan dengan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan (RUU) 2021 tersebut termasuk semua pemegang taruh sama ada di dalam dan di luar kerajaan dan seterusnya dipertanggungjawabkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan (RUU) tersebut.


Beliau secara rasmi membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, yang bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, selaras dengan apa-apa yang tersurat dan tersirat dalam MA63 tersebut.
“Saya berjaya memastikan Jemaah Menteri bersetuju dan meluluskan memorandum berkenaan pindaan tersebut walaupun terdapat banyak persoalan dan bantahan hingga memerlukan penjelasan lanjut daripada Peguam Negara sebagai penasihat rasmi kerajaan,” katanya mengimbas kembali usahanya itu dalam temu bual khas bersama Suara Sarawak.


Usaha itu mencerminkan komitmen beliau dalam memastikan cadangan Pindaan Perlembagaan itu mendapat sokongan penuh sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Saya secara peribadi mengadakan tidak kurang 27 kali sesi libat urus dengan barisan Ahli Parlimen, pihak NGO, SCIO dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Sabah daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

“Adalah penting bagi mendapatkan persetujuan negeri-negeri Borneo dan sokongan Ahli Parlimen yang diperlukan.
Hal ini penting kerana pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara,” katanya.
Malah katanya, beliau secara konsisten menjelaskan tujuan pindaan itu untuk Perjanjian Malaysia 1963 mendapat pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam semangat tahun 1963.
Beliau juga menegaskan, pindaan tersebut memberi impak besar kepada semua pihak Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah dalam menuntut hak termaktub di bawah MA63 direalisasikan sebagai mana yang termaktub dalam perjanjian tersebut.
“Kejayaan meluluskan pindaan itu telah diiktiraf pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri, sebagai antara sumbangan paling signifikan bagi memperbetulkan kedudukan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia.
“Pindaan tersebut telah mendapat perkenan Yang diPertuan Agong pada awal bulan Februari 2022 dan berkuat kuasa pada 11 Februari 2022 selepas pewartaan,”katanya.
Selain itu, Tun Wan Junaidi juga berjaya melaksanakan pindaan terhadap undang-undang antilompat parti.
Beliau bertegas supaya peruntukan tersebut dimasukkan terus ke dalam Perlembagaan dan bukannya sekadar melalui akta biasa, agar tidak mudah diubah dengan hanya majoriti mudah di Parlimen.
“Pindaan tersebut dibuat mengikut Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan sebarang pindaan perlembagaan perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,”katanya.
Tun Wan Junaidi turut berjaya melaksanakan pindaan terhadap Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan yang mengembalikan kuasa penentuan status anak negeri kepada Kerajaan Sarawak, sekali gus memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk pengiktirfan bumiputera kepada anak-anak kahwin campur di antara warga bumiputera dan bukan bumiputra di Sarawak.
“Langkah ini penting dalam mengekalkan kedaulatan tempatan berhubung isu hak dan identiti masyarakat peribumi,”katanya.
Selain tiga pindaan utama tersebut, Tun Wan Junaidi juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan pada tahun 1992.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memperkasa institusi Parlimen serta memulihkan kebebasan pentadbiran badan perundangan negara.


