MIRI: Seorang wanita berusia 21 tahun maut setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bakam, Simpang Sungai Rait di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku sekitar 7.30 malam melibatkan tiga buah kenderaan.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha SS yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 19 tahun, kereta jenis Mitsubishi Triton dipandu oleh lelaki berusia 37 tahun dan Perodua Viva yang dipandu oleh lelaki berumur 50 tahun.
“Kemalangan berlaku apabila motosikal yang disyaki datang dari arah Bintulu ke Miri melanggar belakang kenderaan Mitsubishi sehingga menyebabkan motosikal memasuki laluan bertentangan dan dilanggar oleh kenderaan Perodua Viva,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di Hospital Miri oleh Pegawai Perubatan pada 8.30 malam.
Sementara itu, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah, manakala pemandu dan penumpang kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ekoran itu, pihak polis membuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




