Wanita Austria dibebaskan selepas puji orkid milik penculik

AUSTRIA: Seorang wanita Austria yang diculik telah dibebaskan selepas memuji koleksi orkid milik penculiknya, menurut polis.

Pengayuh basikal profesional, Nathalie Birli, 27, dilanggar sebuah kereta pada Selasa dan mengalami patah tangan ketika terjatuh berhampiran dengan Graz di Austria Tenggara.

Penculik itu memukul Birli sehingga pengsan menggunakan sebatang kayu sebelum membawanya di sebuah rumah terpencil.

“Apabila sedar, saya dalam keadaan bogel dan tangan diikat dengan kerusi di sebuah rumah lama,” kata Birli kepada akhbar Kronen Zeitung.

Menurutnya, lelaki itu memaksa dia meminum alkohol dan cuba melemaskannya di tab mandi yang penuh dengan air sejuk.

Bagaimanapun, dia berjaya menenangkan lelaki itu dengan memuji koleksi bunga orkid lelaki tersebut yang ditanam di rumah terbabit.

Lelaki yang pada mulanya melayannya dengan penuh kebencian itu tiba-tiba bertukar menjadi baik dan memberitahu Birli bahawa berkebun adalah hobinya selain bercerita mengenai zaman kanak-kanaknya yang penuh bermasalah.

Akhirnya lelaki itu bersetuju membebaskan Birli selain menghantarnya pulang ke rumah.

Polis kemudian mengesan rekod GPS yang dipasang pada basikal Birli itu untuk menjejak semula dan menahan lelaki itu ketika berada dirumahnya.

Kini pihak polis menyiasat lelaki berusia 33 tahun yang mempunyai masalah psikiatri itu sama ada pernah terlibat dengan sebarang kes penculikan sebelum ini. – AFP

Suara Sarawak