SIBU: Seorang wanita berusia 45 tahun didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 di Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengabaikan dua anaknya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Bibi Narcessus Dryddeen Jitai, kerana ketiadaan hakim.
Jaminan juga tidak ditawarkan kepada tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam bela dalam kesnya ini.
Rentetan itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Romie Ahmad Zaidi, sekali gus memerintahkan kes berkenaan dibawa untuk sebutan lanjut pada 18 November ini di Mahkamah Sesyen di sini.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Di bawah seksyen ini, ia adalah satu kesalahan bagi sesiapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak untuk “meninggalkan, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada bahaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosinya”.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh pada kira-kira jam 6 petang pada 15 Ogos lepas mengabaikan anak perempuannya yang berusia 14 tahun dengan menghalaunya keluar dari sebuah rumah di Jalan Pahlawan.
Pertuduhan kedua pula menyatakan tertuduh telah memukul anak lelakinya berusia 11 tahun dengan kayu penyapu pada hari yang sama kira-kira jam 1.30 petang.
Dalam pertuduhan ketiga, tertuduh pada kira-kira jam 5 petang pada 20 Oktober, telah bertindak melecurkan anak lelakinya dengan air panas.

