KUCHING: Seorang wanita dijatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti judi dalam talian di sebuah kedai makan, Mac lalu.
Suhaila Tan, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan terbuka di Batu Kawa, sekitar 9.10 malam, 25 Mac lalu.
Menurut fakta kes, sepasukan polis membuat satu serbuan sempena Ops Dadu di sebuah kedai makan terbuka di Batu Kawa.
Hasil serbuan tersebut menangkap seorang wanita yang sedang bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit.
Tertuduh kemudian ditangkap bersama-sama barang rampasan seperti sebuah telefon bimbit, sekeping kertas bertulis ID dan kata laluan judi serta wang tunai berjumlah RM25.
Hasil siasatan, laporan pakar judi mendapati telefon bimbit yang dirampas mempunyai pertaruhan permainan judi dalam talian tanpa lesen yang sah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


