ARTIKEL

JAWAB SOALAN…Milton menjawab soalan daripada pemberita sambil disaksikan oleh Puan Sim pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Wanita Dijadikan Keldai Akaun Tanpa Sedar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Niat seorang wanita membantu bekas rakan sekerjanya menguruskan urusan deposit sewa hartanah akhirnya memakan diri apabila akaun bank miliknya didakwa disalahgunakan sebagai ‘akaun keldai’ sehingga kini berdepan siasatan polis dan perlu melalui proses perundangan.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Sim, 36, berkata, beliau hanya menyedari akaun banknya dibekukan pada 29 Jun lalu selepas suaminya gagal membuat pemindahan wang ke akaun berkenaan.

Menurut bekas ejen hartanah itu, hasil semakan di bank mendapati terdapat satu laporan polis dikaitkan dengan akaun miliknya sebelum beliau dinasihatkan mendapatkan penjelasan daripada pihak polis.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Siburan pada 1 Julai sebelum dimaklumkan akaun saya sedang disiasat oleh polis di Bintulu berkaitan kes penipuan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dihadiri Ketua Biro Pengaduan Awam Milton Foo, hari ini.

Mengimbas kejadian itu, Sim berkata, semuanya bermula pada Februari lalu apabila seorang bekas rakan sekerja yang dikenali sebagai Encik A meminjam RM400 daripadanya atas alasan kecemasan sebelum memulangkan semula wang itu pada hari yang sama dengan meminta nombor akaun banknya.

Beliau berkata, tindakan lelaki terbabit memulangkan wang berkenaan menyebabkan beliau tidak mengesyaki sebarang perkara kerana menyangka ia sekadar urusan pinjam-meminjam antara rakan.

“Bagaimanapun, pada 23 April, wang berjumlah RM5,000 dimasukkan ke dalam akaun saya oleh seorang individu yang tidak dikenali sebelum Encik A menghubungi saya dan mendakwa wang itu ialah deposit sewa sebuah hartanah milik pelanggannya.”

“Disebabkan kami pernah bekerjasama dalam urusan hartanah, saya percaya kepadanya lalu memindahkan RM4,900 seperti diminta, manakala baki RM100 beliau minta supaya diberikan kepada saya sebagai ‘duit kopi’,” katanya.

Beliau berkata, perkara sama berulang pada 4 Mei apabila dana sebanyak RM31,000 pula dimasukkan ke dalam akaunnya sebelum diarahkan memindahkan RM22,200 secara dalam talian kepada Encik A.

Katanya, baki RM8,500 kemudian dikeluarkan secara tunai di sebuah mesin ATM di MJC dengan ditemani Encik A sebelum diserahkan kepadanya, manakala RM300 lagi turut diberikan kepada beliau sebagai duit kopi.

Beliau mendakwa tidak mengetahui sumber sebenar wang tersebut dan hanya mengikut arahan bekas rakan sekerjanya kerana percaya transaksi itu membabitkan urusan deposit sewa hartanah.

“Namun, selepas akaun bank saya dibekukan, semua usaha menghubungi lelaki terbabit gagal apabila nombor telefon dan akaun WhatsAppnya tidak lagi dapat dihubungi,” katanya.

Sementara itu, Milton berkata, semakan yang dibuat dengan agensi hartanah berkenaan mendapati Encik A ditamatkan perkhidmatan sekitar April lalu, namun pengumuman rasmi hanya dibuat menerusi media sosial syarikat pada 2 Julai.

Katanya, mangsa hanya mengetahui status sebenar bekas rakan sekerjanya selepas kenyataan tersebut dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

“Puan Sim kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan diberikan jaminan polis. Beliau juga dikehendaki hadir ke Mahkamah Bintulu pada 31 Julai ini bagi membantu siasatan serta proses perundangan berkaitan kes yang dikendalikan di sana,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU