KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis syabu.
Zatil, 38, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama kerana memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.
Dia didapati positif dadah semasa ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sekitar jam 4.45 petang pada 25 Ogos 2021.
Sabit kesalahan membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah menahan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Kemudian, laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak turut mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pegawai Pendakwa Nur Shafiqa nyaie Ilin memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Terdahulu, di Mahkamah Majistret berasingan, Zatil turut dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara lapan bulan kerana memiliki 1.75 gram dadah jenis Amphetamine.
Dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.



