SIBU: Seorang wanita dipercayai bertindak terjun ke dalam sungai di belakang Waterfront Residence Sibu di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Sandy Ng Pin Pin, berusia 25 tahun, hingga kini masih dilaporkan hilang.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Andy Alie, berkata pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pada 1.51 petang.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral kemudian menggerakkan 11 anggotanya yang diketuai PBK I KUP Donny Sumping serta sebuah jentera FRT dan EMRS ke lokasi mangsa terjun yang terletak satu kilometer dari balai,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan seorang wanita dewasa dikhuatiri telah terjun ke dalam sungai.
“Menurut maklumat daripada ahli keluarga mangsa (adik mangsa), mereka telah menemui barang milik mangsa (selipar, dompet, telefon bimbit) di lokasi dan mengesyaki mangsa terjun sungai,” katanya.
Rentetan itu, katanya anggota bomba bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemantuan di lokasi dan mengambil maklumat tentang kejadian.

