ARTIKEL

SUSPEK yang ditahan di kediamannya di Kabong, semalam.

Wanita Ditahan Cuba Cederakan Suami Guna Gunting

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KABONG: Seorang wanita tempatan berusia 24 tahun ditahan polis selepas dipercayai cuba mencederakan suaminya menggunakan gunting dalam kejadian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, sebelum kejadian, suspek didakwa turut menghantar mesej ugutan melalui aplikasi WhatsApp untuk membunuh suaminya serta anak mereka.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan selepas suspek dikatakan kerap meminta perceraian.

“Suspek datang ke rumah dengan tujuan meminta cerai, namun suaminya memaklumkan bahawa urusan perceraian dilakukan melalui mahkamah.

“Susulan itu, suspek bertindak agresif sebelum mengambil sebilah gunting dan meluru ke arah suaminya dengan niat untuk menyerang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, suami suspek berjaya mengelak daripada terkena bahagian tajam gunting tersebut, namun mengalami kecederaan berupa calar pada bahagian pinggang kiri.

Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, polis kemudian menahan suspek di kediamannya di Kabong bagi membantu siasatan.

Mathew menambah, pemeriksaan perubatan oleh Klinik Kesihatan Kabong mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat serangan menggunakan gunting.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau alat berbahaya serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru ketika berdepan konflik rumah tangga dan mendapatkan bantuan pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah secara baik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU