SERIAN: Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian menahan seorang wanita kerana disyaki terlibat kegiatan perjudian dalam talian.
Menurut IPD Serian dalam kenyataan, suspek ditahan di sebuah premis di Pekan Lama Muara Mongkos, di sini kira-kira 4 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek tersebut disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian.
“Suspek ditangkap bagi membantu siasatan lanjut dan beberapa barangan berkaitan turut dirampas,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

