KUCHING: Seorang wanita warga Australia yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Santubong semalam, disahkan masih hidup, namun terperangkap di kawasan cerun dengan kecerunan hampir 90 darjah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, mangsa, Belinda Lapier, 43, memulakan pendakian sekitar 8.34 pagi sebelum dipercayai terjatuh ketika dalam perjalanan turun dari puncak.
“Keadaan itu hanya disedari selepas mangsa gagal dikesan sebelum laporan polis dibuat pada 8.55 malam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Alexson menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan pada 9.30 malam tadi dengan pelibatan pelbagai agensi.
Beliau berkata, perkembangan terkini menunjukkan pasukan penyelamat berjaya mengenal pasti lokasi mangsa di kawasan dikenali sebagai F7 dan masih boleh berkomunikasi dengannya dengan memanggil nama.
“Namun, usaha untuk menghampiri mangsa berdepan kesukaran besar berikutan keadaan muka bumi yang ekstrem,” jelasnya.
Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, pasukan renjer hutan berjaya menghubungi mangsa sekitar 5 petang semalam dan menjalankan pencarian di lokasi terakhir yang dikesan.
Bagaimanapun, mereka hanya dapat mendengar suara mangsa tanpa menemui kedudukan tepat sebelum terpaksa berundur pada 5.30 petang dan menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Laluan ke lokasi mangsa dipenuhi halangan termasuk batu besar dan pokok tumbang, selain kecerunan hampir menegak yang memerlukan penilaian teknikal rapi bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat.
“Setakat ini, operasi masih diteruskan dengan tumpuan kepada strategi terbaik untuk mengeluarkan mangsa dari lokasi berbahaya itu tanpa menjejaskan keselamatan semua pihak terlibat,” katanya.



